Pages

Monday, December 5, 2011

Wanita, 85 tahun, dakwa dipaksa tanggal pakaian semasa pemeriksaan kastam


NEW YORK: Seorang wanita berusia 85 tahun semalam berkata beliau tercedera dan berasa terhina apabila terpaksa menanggalkan pakaian untuk menjalani pemeriksaan kastam di sebuah lapangan terbang.

Ini selepas beliau meminta hanya ditepuk bagi tujuan pemeriksaan daripada perlu menjalani imbasan tubuh.Dakwaan itu, bagaimanapun, dinafikan oleh pegawai keselamatan di lapangan terbang tersebut.

Cik Lenore Zimmerman berkata beliau dibawa ke sebuah bilik sulit dan diarahkan supaya menanggalkan seluar dan pakaian lain selepas beliau meminta agar tidak menjalani pemeriksaan imbasan itu kerana bimbang ia boleh menjejas alat defibrilatornya.

Akibatnya, beliau gagal menaiki penerbangannya dan terpaksa menaiki pesawat lain kira-kira dua setengah jam kemudian, kata wanita itu.



'Saya bongkok. Saya menggunakan kerusi roda. Berat badan saya di bawah 110 paun (50 kilogram),' kata Cik Zimmerman, daripada sebuah pusat penjagaan orang tua di Coconut Creek, Florida.

'Apakah saya kelihatan seperti seorang pengganas?' ujarnya.

Pihak Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA), bagaimanapun, dalam satu kenyataannya semalam berkata tiada pemeriksaan dengan menanggalkan pakaian yang telah dijalankan.

'Sedang kami menyesali ada penumpang berasa beliau telah menjalani satu pemeriksaan imbasan yang kurang selesa, TSA tidak menjalankan pemeriksaan dengan menanggalkan pakaian sebagai sebahagian daripada protokol kami dan tidak ada satu pun yang dijalankan dalam kes ini,' kata kenyataan itu.

Cik Zimmerman dihantar oleh anak lelakinya ke Lapangan Terbang Kennedy untuk menaiki penerbangan pada petang (waktu tempatan) Selasa lalu, ke Fort Lauderdale, Florida, dengan pesawat JetBlue.

Beliau tiba di kaunter tiket sekitar 12.20 petang dan terus menuju ke kaunter kawalan keselamatan dengan berkerusi roda dan alat pembantu jalannya diletakkan di atas ribanya.

'Saya bimbang keadaan jantung saya, jadi saya tidak mahu menjalani pemeriksaan itu,' katanya sambil merujuk kepada mesin imbasan yang diletakkan di lapangan terbang itu.

Ekoran itu, menurutnya, beliau dibawa ke sebuah bilik pemeriksaan sulit oleh seorang ejen wanita dan disuruh menanggalkan pakaiannya.

TSA sebaliknya berkata pemeriksaan itu diminta oleh penumpang berkenaan dan ia berjalan selama kira-kira 11 minit. -- AP.

No comments:

Posting Terkini