Pages

Monday, December 5, 2011

Peluang penjenayah kulit putih dapat keampunan lebih tinggi di AS


WASHINGTON: Satu siasatan bebas mendapati bahawa penjenayah kulit putih, yang meminta keampunan daripada presiden Amerika Syarikat sepanjang dekad lalu, mempunyai peluang kejayaan empat kali lebih tinggi mendapatkan keampunan itu berbanding dengan kaum minoriti di sana, lapor akhbar The Washington Post, awal semalam.

Akhbar itu berkata bahawa kajian tersebut telah dijalankan oleh ProPublica, sebuah bilik berita tanpa meraih keuntungan yang menjalankan kegiatan kewartawanan siasatan.

Kajian ProPublica itu menyiasat apa yang terjadi selepas mantan presiden Amerika Syarikat, Encik George W. Bush, memutuskan pada awal tempoh pertama jawatannya bahawa beliau mahu bergantung hampir sepenuhnya kepada saranan para peguam di Pejabat Peguam Negara yang menangani kes rayuan.


Menurut kajian itu lagi, penjenayah kulit hitam mempunyai peluang paling rendah menerima pengampunan daripada presiden, tambah laporan akhbar tersebut.

Dari 2001 hingga 2008, Encik Bush telah mengeluarkan keputusan bagi 1,918 kes permohonan keampunan yang dihantar kepadanya oleh Jabatan Keadilan.

Kebanyakan permohonan itu membabitkan jenayah tidak ganas, dadah atau kewangan, lapor The Washington Post.

Beliau mengampunkan 189 penjenayah - kesemuanya, kecuali 13 orang, penjenayah kulit putih, tambah laporan itu.

Tujuh pengampunan diberikan kepada penjenayah kulit hitam, empat kepada penjenayah berketurunan Hispanik, satu kepada penjenayah berasal dari Asia dan satu lagi kepada seorang penjenayah keturunan orang asli Amerika.

The Washington Post telah memetik Encik Fred Fielding, yang pernah berkhidmat sebagai penasihat Encik Bush, sebagai berkata bahawa layanan berbeza yang dikenakan ke atas sesetengah kaum 'amat membimbangkan saya dan demikian juga Encik Bush.

'Ini kerana kami tidak mempunyai idea langsung tentang kaum seseorang pemohon'. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini