Pages

Sunday, December 25, 2011

Kian ramai lelaki muda Melayu dikesan amal homoseksual


KOTA BAHRU: Kian ramai golongan muda lelaki Melayu dikesan menjadi pengamal homoseksual sekalipun mengetahui perkara itu ditegah agama dan mendedahkan mereka kepada jangkitan virus HIV.

Presiden Majlis Aids Malaysia, Tan Sri Mohd Zaman Khan, berkata penularan seks luar tabii semakin serius dan tidak tertumpu pada negeri-negeri di pantai Barat sahaja malah berlaku di negerinegeri lain termasuk Kelantan.

Tambahnya, jika dahulu pengamalnya melakukannya secara sembunyi tetapi kini mereka kian berani menonjolkan diri sehingga menubuhkan kelab-kelab gay.

Perkara itu sangat membimbangkan, lebih-lebih lagi trend jangkitan HIV dan Aids di Malaysia telah berubah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan kepada transmisi kegiatan seks tidak selamat.


'Pada 2010, jangkitan melalui hubungan seks secara heteroseksual, homoseksual dan biseksual mencatatkan 48.7 peratus melebihi jangkitan melalui penggunaan dadah suntikan iaitu 47.7 peratus.

'Nisbah jangkitan baru HIV dalam kalangan wanita juga naik tiga kali ganda apabila ia meningkat daripada 1.2 peratus pada 1990 menjadi 9.4 peratus pada 2000 dan 18.3 peratus pada tahun lepas.

'Namun, kita dapati, selain bilangan semakin meningkat dalam kalangan wanita yang menjadi isteri dan pasangan penghidap HIV, golongan lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama jenis juga semakin ramai terdedah kepada epidemik ini,' katanya di sini kelmarin.

Tan Sri Mohd Zaman berkata pada tahun lalu sahaja, sebanyak 3,652 kes baru jangkitan HIV telah dicatat menjadikan jumlah keseluruhan 91,362 penghidap, sejak virus ini mula dilaporkan di Malaysia pada 1986.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 16,532 orang 'naik' ke peringkat fasa Aids di mana 14,298 orang daripada mereka meninggal dunia akibat kurang daya tahan terhadap pelbagai jenis penyakit termasuk demam selesema.

Beliau berkata pergaulan dan pengaruh rakan serta sokongan padu daripada kelab mereka menjadi punca utama budaya songsang ini merebak dan menyebabkan mereka semakin berani mengamalkan cara hidup demikian.

Beliau tidak menolak penularan gaya hidup songsang itu dipercayai kesan daripada tindakan pihak-pihak tertentu yang giat memperjuangkan amalan berkenaan atas nama hak asasi dan kebebasan.

'Kita lihat kes pemuda Melayu yang berkahwin dengan pasangan gay di Dublin, Ireland, baru-baru ini dengan lengkap bertanjak dan berbaju Melayu. Apa maknanya ini? Bagi saya ini sengaja hendak memalukan bangsa Melayu sahaja,' tambahnya. -- Utusan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini