JOHOR BAHRU - Seorang pengarah sebuah syarikat swasta yang merupakan suami kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd. (IIB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tiga pertuduhan rasuah berhubung tender membina dan menyiapkan sekolah di sini, tahun lepas.
Rasuah itu kononnya sebagai upah membantu syarikat Detect Engineering Sdn. Bhd. mendapat tender membina dan menyiapkan Sekolah Menengah Berasrama Penuh bernilai RM40.8 juta di atas sebahagian lot PTD 154971, Mukim Pulai, di sini, daripada IIB.
Mohd. Amin Suhaimi, 52, dituduh meminta suapan wang tunai RM816,900 daripada seorang pengarah Detect Engineering Sdn. Bhd., Mohd. Hassan Madon, 48, melalui Mohd. Iskandar Fahmi Abdullah, 52, di Cafe Para-Para, Hotel Grand Paragon, Taman Century, di sini, kira-kira 5 petang, 22 April 2010.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan wang tunai RM500,000 daripada Mohd. Hassan melalui Mohd. Iskandar Fahmi, di tempat letak kereta Kompleks City Square, di Jalan Wong Ah Fook, di sini, kira-kira 4 petang, 4 Jun 2010.
Mohd. Amin juga dituduh menerima suapan wang tunai RM316,900 daripada individu yang sama di tempat letak kereta Plaza Kota Raya, Jalan Trus, di sini, antara pukul 2 dan 3 petang, 9 Jun 2010. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment