Pages

Friday, December 17, 2010

AMK minta SPRM siasat 1AZAM

63250002KOTA KINABALU: Pendedahan Adun  Nabawan, Bobbey Suan bahawa 102 daripada 557 senarai e-kasih Nabawan tidak layak menerima program 1Azam, kerana termasuk ramai pegawai kerajaan perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Penerangan AMK Sabah, Zainuddin Hassan.
“Siasatan harus ditumpukan siapa yang menjadi dalang menggunakan senarai e-kasih untuk tahun 2000 bagi penerima 2010?

"Dalam hal ini, pengarah jabatan perkhidmatan kebajikan am dan menteri terbabit perlu meletakkan jawatan atau bercuti ketika siasatan dijalankan kerana dibuat secara tidak telus,” ujarnya ketika mengulas kenyataan Bobbey.
Tegas Zainuddin, kerjasama semua pihak amat penting kerana pelaksanaan program secara membuta tuli akan membazirkan wang rakyat dan penyelewengan mudah dilakukan disebabkan tidak ada pemantauan daripada pihak berkuasa seperti jabatan audit negara dan SPRM.
“Pegawai yang mengesahkan senarai e-kasih tanpa rujukan silang berkenaan harus dipecat kerana jika benar pendedahan Bobbey, maka senarai e-kasih yang digunakan di seluruh Sabah juga tidak sah disebabkan penuh dengan fakta palsu dan penyelewengan,” ujar Zainuddin.
Beliau turut  mencabar Bobbey agar membuat laporan polis jika benar-benar mahu membasmi kemiskinan kerana Bobbey mempunyai locus-standi untuk berbuat demikian disebabkan kes ini berlaku di kawasan yang diwakilinya.
Pelaksanaan 1Azam kata Zainuddin dibuat secara ‘muslihat’ untuk mengukuhkan kedudukan BN di Sabah sedangkan mekanismenya berterabur dan tidak kemaskini kerana dibuat melalui pejabat pos.
"Semua sedia maklum bahawa pejabat pos di luar bandar tidak mempunyai lebihan tunai untuk menunaikan elaun berkenaan," tambahnya.
“Kenapa tidak salurkan melalui Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian atau Bank Rakyat yang boleh turun padang untuk membuka akaun dan menunaikan elaun 1Azam bagi membantu masyarakat miskin tegar keluar daripada kemiskinan yang merantai mereka selama ini?,” tanya Zainuddin.
Menurut Zainuddin, Projek 1AZAM yang diperkenalkan bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan rakyat Malaysia miskin tegar dan miskin, menambah pendapatan sehingga melebihi had garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM750 sebulan bagi miskin dan di bawah RM2000 sebulan bagi golongan berpendapatan rendah melalui empat peluang  iaitu penempatan pekerjaan, perniagaan kecil-kecilan, penyediaan perkhidmatan dan pertanian
Namun kata Zainuddin, hasrat untuk menyediakan peluang kepada golongan miskin tegar dan miskin meningkatkan pendapatan isirumah mereka sehingga keluar dari garis kemiskinan dengan meraih pendapatan melebihi RM2000 sebulan, iaitu melepasi garis kemiskinan negara tidak mungkin tercapai dengan pelaksanaan yang penuh dengan penyelewengan.
“Usaha untuk memperkasa kumpulan miskin tegar dan miskin agar dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung sehingga bebas daripada bantuan kewangan secara langsung daripada kerajaan, hanyalah omongan kosong kerana pelaksanaannya seperti meludah ke langit,” ujar Zainuddin seperti dilapor Sabahkini.

No comments:

Posting Terkini