Pages

Monday, June 17, 2013

Ahli korporat taja umrah 120 orang

Ahli korporat taja umrah 120 orang
KUALA LUMPUR: Bukan dua atau tiga tetapi 120 orang, termasuk 35 artis, mendapat 'rezeki terpijak' apabila ditaja seorang ahli korporat 'misteri' menunaikan umrah secara percuma.
Jika mengambil kira kos seorang jemaah sebanyak RM7,000, ($2,812), bermakna RM840,000 dibelanjakan bagi rombongan umrah itu.
Turut mendapat habuan ialah penduduk dan pelajar kurang kemampuan sekitar Pulau Indah, Klang, yang berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ke Jeddah, Arab Saudi pada pagi Selasa lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 22 Jun ini.
Rombongan artis diketuai pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain.
Ini julung kali ada pihak sanggup melabur sejumlah wang begitu banyak untuk menaja artis.


Lebih menarik, ahli korporat berkenaan yang dipercayai berasal dari Sarawak itu tidak mahu menonjolkan diri dengan kerja amal berkenaan.
Pengarah dan pelawak AR Badul yang dipertanggungjawab menyenaraikan nama artis, terharu ada pihak bermurah hati menaja artis menunaikan umrah.
Menurutnya, artis yang diberi keutamaan dipilih ialah golongan veteran dan mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah suci.
"Tidak pernah berlaku artis pergi umrah dalam jumlah besar secara bersama. Cuma saya diamanahkan untuk tidak mendedahkan dengan panjang lebar siapa ahli korporat itu. Sebagai artis lama yang mewakili rakan artis lain, usaha murni ahli korporat ini kami sanjung tinggi kerana dia langsung tiada kepentingan komersial dengan kami, sekadar mahu berbakti," kata beliau.
Antara artis yang dapat mendapat tajaan itu ialah penyanyi lagu asli, Aspalela Abdullah yang menarik perhatian tidak semua golongan artis itu mewah.
"Pendapatan artis tidak tetap dan bila tiba usia veteran, undangan persembahan kurang. Saya dapati bukan semua artis berkemampuan pergi umrah. Mereka berhempas pulas untuk hidup dan bila ada program murni begini daripada orang kaya, hanya Allah yang dapat membalasnya nanti," kata beliau.
Antara artis lain yang turut menyertai rombongan itu termasuk Rozita Rohaizad, Halil Chik, Norliah Ghani, Hamidah Wahab, Fauziah Nawi dan Razis Ismail. - Metro Ahad.

No comments:

Posting Terkini