Pages

Tuesday, June 18, 2013

Jerebu di Malaysia kian buruk

Jerebu di Malaysia kian buruk
PETALING JAYA: Jerebu yang melanda beberapa kawasan di semenanjung Malaysia dijangka bertambah buruk berikutan cuaca panas yang akan berterusan sehingga beberapa bulan akan datang.
Mutu udara di enam kawasan di semenanjung negara itu bertambah buruk ke tahap tidak sihat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Malaysia.
Sabtu lalu, hanya tiga kawasan di Malaysia itu dianggap berada pada tahap tidak sihat, menurut laporan The Star, semalam.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia mengesan bacaan IPU tidak sihat melebihi 100 di Melaka mencapai 161, Bukit Rambai 135, Pelabuhan Klang 104, Port Dickson 120, Muar 125 dan Kemaman 108.
Bagaimanapun, mutu udara di kebanyakan tempat lain di Malaysia berada pada tahap baik dan sederhana, kata laporan akhbar tersebut.
Di Melaka, bacaan IPU meningkat daripada 68 kepada 161 sejak tiga hari lalu, bacaan tertinggi direkodkan di Malaysia.


Sebahagian besar penduduk setempat dan pelancong kelihatan memakai pelitup di bandar bersejarah itu.
Darjah penglihatan berada pada tahap yang rendah sehingga menjejas laluan trafik di bandar tersebut, tetapi kegiatan sukan yang dirancang lebih awal, iaitu perlumbaan bot naga sempena Pesta Sungai Melaka tahunan, diteruskan seperti dijadualkan kelmarin, menurut The Star.
Namun, pengerusi eksekutif Pembangunan Kesihatan dan Sukan Melaka, Datuk Abdul Rahaman Ab Karim, berkata kerajaan akan menimbangkan untuk membatalkan kegiatan di luar rumah, sukan dan kurikulum tambahan sekolah jika suasananya bertambah buruk.
"Kelas-kelas akan diteruskan seperti biasa sekarang tetapi kami akan membatalkan semua kegiatan di luar jika timbul keperluannya. Buat sementara ini, kami akan memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan lebih rapi," katanya.
Mengulas lanjut mengenai isu jerebu di semenanjung Malaysia itu pula, Ketua Pengarah JAS, Datuk Halimah Hassan, berkata beberapa titik panas yang dikesan oleh Pusat Meteorologi Khas Asean di Sumatera, Indonesia, telah meningkat daripada 46 kepada 101 pada Sabtu lalu.
Menurut beliau, kesan jerebu itu dibawa oleh angin Monsun Barat Daya ke Semenanjung Malaysia, yang bermula pada awal bulan ini.
"Sekiranya titik panas terus meningkat dan arah angin kekal seperti ini, situasi mungkin menjadi lebih teruk," kata Datuk Halimah, sambil menekankan bahawa isu jerebu adalah isu rentas sempadan yang memerlukan kerjasama negara-negara berdekatan - Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia - menerusi Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Dengan suasana jerebu ketika ini dijangka lebih teruk pada hari-hari mendatang, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggesa supaya orang ramai mengambil langkah berwaspada, khususnya terhadap penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jerebu.
Jerebu boleh meningkatkan risiko penyakit daripada kalangan kanak-kanak, warga emas, penghisap rokok, pesakit jantung dan beberapa lagi yang mungkin mengalami penyakit berkaitan dengan pernafasan, seperti penyakit lelah dan bronkitis.
Kementerian itu juga menasihatkan orang awam supaya mengurangkan kegiatan di luar rumah dan mengelak daripada merokok.
Orang ramai juga dinasihatkan minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari, menurut kementerian itu, sambil menambah bahawa menjaga kebersihan diri juga penting.

No comments:

Posting Terkini