Pages

Monday, November 29, 2010

Sultan Selangor kecewa ada Melayu pertikai kedudukan Raja, bangsa sendiri

sultan selangor
SHAH ALAM:  Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris  Shah hari ini bertitah baginda sedih dan dukacita kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu.   
Baginda bertitah golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.   

"Matlamat mereka agar sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan, dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian, adalah amat tidak bertepatan," titah baginda pada majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan – Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di sini.   
Sultan Sharafuddin bertitah terdapat juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan ‘Raja-Raja Melayu’.   
Titahnya, baginda percaya perbuatan itu dilakukan golongan berkenaan untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan politik mereka.   
Sultan Sharafuddin bertitah adakah orang Melayu kini tidak berbangga dan megah dengan bangsa sendiri sehingga ada yang sanggup menggadaikan perkataan ‘Melayu’ untuk dikuburkan serta lenyap daripada mata dunia.   
Baginda bertitah kisah sejarah yang ditulis oleh orang Inggeris juga tertera perkataan ‘Tanah Melayu’ dan ‘Raja-Raja Melayu’ dan ini menunjukkan penulis Barat berkenaan mengiktiraf bangsa Melayu yang memulakan sejarah di negara ini.   
"Beta berasa sedih dengan generasi sekarang yang malu untuk mengaku diri mereka seorang Melayu.    
"Di sini beta ingin menyatakan bahawa bukanlah tujuan beta untuk menyalakan api perkauman, tetapi ingin menyatakan kepada kita semua bahawa kita mesti berbangga dengan negeri Selangor yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum iaitu kaum Cina, India dan Melayu, serta kaum-kaum yang lain," titah baginda.   
Titahnya, keamanan di Selangor boleh dibanggakan kepada dunia luar kerana negeri itu mempunyai tamadun yang maju dengan kepesatan ekonomi terbina atas keharmonian ketiga-tiga kaum.
-Bernama

No comments:

Posting Terkini