Pages

Monday, January 19, 2009

Mandat Kuala Terengganu petunjuk kritikal buat Umno, BN

ANALISIS: SETAKAT hampir 50 peratus undi yang telah dijumlahkan diumumkan keputusannya secara rasmi semalam, calon Barisan Nasional (BN) berada dalam kedudukan agak 'selesa' dengan mendahului calon-calon lain. Keputusan bagi 10 peti undi pertama diumumkan menjelang 7.30 petang.

Untuk tempoh sejam pertama, keputusan rasmi peti-peti undi yang diumumkan menunjukkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului kelebihan undi antara 192 dan 1,500 - angka ini mengalami turun naik untuk tempoh sejam pertama di sebalik suasana mencemaskan banyak pihak. Jumlah keseluruhan peti undi ialah 144.

Pesaing terdekatnya, Mohd. Abdul Wahid Endut dari PAS pula mula mendahului apabila keputusan 85 peti diumumkan. Mohd. Abdul Wahid meneruskan kedudukannya sehingga keputusan peti undi terakhir diumumkan.

Walaupun keputusan rasmi hanya diumumkan pada pukul 9.30 malam, tetapi paparan di skrin di Stadium Negeri menunjukkan Mohd Abdul Wahid sudah pun memperoleh 32,883 undi untuk muncul sebagai Ahli Parlimen baru - yang kedua selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dalam lingkungan pukul 8.45 malam, ketika keputusan rasmi 85 peti undi itu diumumkan, maklumat tidak rasmi yang diterima daripada sumber-sumber parti politik menunjukkan calon PAS sudah menuju destinasi kemenangan dengan hanya 17 peti undi belum diketahui keputusannya. Perolehan itu menewaskan Wan Ahmad Farid Wan Salleh - calon BN - dengan majoriti 2,631 undi. Calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam meraih hanya 193 undi - jauh lebih kecil berbanding undi calon Bebas, Maimun Yusof - wanita paling tua bertanding - iaitu sebanyak 685.

Di sebalik suasana cemas itu sehingga proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang, parti-parti politik yang bertanding tidak berani menyatakan dengan jelas peluang pihaknya memenangi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Sama ada pemimpin Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN) mereka hanya mengatakan peluang masih di kedudukan 50:50 dengan diekori kenyataan "kami yakin peluang cerah" ataupun "kami optimistik".

Pilihan raya kecil semalam merupakan pilihan raya kecil kerusi Parlimen yang pertama bagi warga Kuala Terengganu sepanjang lima dekad pilihan raya negara ini.

Meskipun pilihan raya kecil ini tidak mengubah status kerajaan negeri atau kerajaan pusat, tetapi sejak awal lagi pilihan raya ini telah disifatkan sebagai yang amat penting.

Meskipun pemimpin-pemimpin Umno dan BN menolak tanggapan bahawa keputusan pilihan raya kecil ini merupakan satu penilaian, referendum dan ujian kepada kepimpinan pusat dan negeri, secara langsung dan tidak langsung mandat yang diberikan semalam tidak boleh lari daripada itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sehari sebelum hari penamaan calon telah menegaskan bahawa pilihan raya kecil ini bukan ukuran penilaian ataupun referendum ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ke atas beliau sendiri.

Pada pilihan raya umum lepas, calon BN Allahyarham Datuk Razali Ismail mempertahankan kerusi itu apabila menang dalam pilihan raya umum 2004, dengan majoriti 628 undi menewaskan Mohamed Sabu dari PAS dan calon Bebas Maimun Yusof yang memperoleh 685 undi.

Daripada 80,229 pemilih berdaftar di kawasan itu, 79.9 peratus menunaikan tanggungjawab mereka semalam berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum lalu.

Ketika semua parti politik tetap menganggap pilihan raya ini kecil ini sebagai penting, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, keputusan malam tadi menunjukkan kesinambungan pilihan raya umum ke-12 yang disinonimkan dengan "tsunami politik".

Tegas beliau, pengundi-pengundi masih melihat ada kekurangan pada Umno dan BN walaupun sudah 10 bulan pilihan raya umum ke-12 berlalu.

"Umno dan BN berada dalam persimpangan... ini keputusan yang kritikal bagi BN dan Umno untuk membuat perubahan," kata beliau sambil menambah, "ini juga merupakan referendum bagi BN."

Sehubungan itu, kata Ibrahim, barisan kepimpinan baru Umno dan BN, di bawah Najib perlu menggerakkan usaha menyeluruh untuk memulihkan Umno dan BN selepas Mac ini.

"Umno dan BN tidak boleh setakat memberi tumpuan ke atas proses penjenamaan semula semata-mata," katanya.

Ibrahim mengakui bahawa PAS memperoleh sokongan daripada pengundi-pengundi masyarakat Melayu dan Cina.

Beliau mengakui bahawa perbalahan dalam Umno juga memanfaatkan PAS untuk mencapai kemenangan.

Hasil kajian kendalian Merdeka Center yang dikeluarkan empat hari lalu menunjukkan ada kecenderungan bagi pengundi Cina untuk memberi undi mereka kepada Pakatan Rakyat tetapi secara umum arah aliran sokongan pengundi tidak jelas.

Yang menarik aspek itu berterusan sehingga semalam.

Aspek penting yang perlu diberikan perhatian, menurut Ibrahim ialah, keyakinan orang ramai terhadap Umno terus terhakis.

"Ia semakin berlaku dan tidak dapat ditahan selepas pilihan raya umum ke-12," katanya.

Sambil menegaskan trend sokongan malam tadi sebagai sesuatu yang telah dijangkakan, Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, PAS sudah dijangka akan memperoleh majoriti dalam lingkungan 1,800 undi.

"Apa yang jelas rakyat mahukan perubahan...," kata beliau yang turut mengakui bahawa 'sebenarnya kedua-dua parti membawa isu yang sama ketika berkempen."

Pengundi-pengundi yang tidak yakin dengan calon dan calon pula tidak menonjol juga merupakan antara faktor yang membawa kepada kekalahan Umno dan BN.

"Ada banyak faktor... ini sebahagian... umumnya rakyat tidak berpuas hati secara keseluruhan," katanya.

Agus juga memberitahu, Umno perlu memahami ia masih belum meyakinkan rakyat yang mahukan perubahan buat masa sekarang dan masa depan.

Adakah keputusan terbaru menandakan masa depan Umno sudah mula berakhir, beliau menafikan tanggapan sedemikian.

"Tiada soal parti berkubur dalam politik," katanya dan menambah, keadaan adalah kritikal bagi BN dan Umno.

Tetapi tegasnya, mandat yang diperoleh PAS dan Pakatan Rakyat semalam menandakan rakyat sudah mula mengarah kepada persekitaran politik sistem dua parti.

"Sudah wujud persekitaran politik baru.... di mana pemimpin DAP buat pertama kali berceramah dalam pentas politik PAS... ini berlaku secara besar-besaran (di Kuala Terengganu)," katanya.

Suasana itu wujud di sebalik isu undang-undang hudud yang timbul sebagai antara bahan kempen di sini.

Jelas beliau, perkara itu tidak wujud ketika kempen politik semasa pilihan raya umum ke-12.

Malah, aspek yang menarik katanya, DAP dan rakyat sudah tidak kisah mengenai soal hukum hudud walaupun ia menjadi salah satu bahan kempen politik.

Najib menerima keputusan semalam dengan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.

Pakatan Rakyat pula melihat ia sebagai pencetus semangat untuk memperkukuhkan badan informal ikatan pembangkang itu.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu seringkali bertukar tangan di antara pelbagai parti politik sejak 1990. Pada tahun itu ia dikuasai oleh Semangat 46 dan dirampas semula pada 1995. PAS mengambil alih empat tahun kemudian sebelum kembali kepada BN pada 2004 dan dikekalkan Mac 2008.

sepuluh bulan kemudian PAS dan Pakatan Rakyat menguasainya. Kemenangan bagi Pakatan Rakyat secara berturut-turut selepas Permatang Pauh Ogos lalu.

Pilihan raya yang kecil tetapi besar impak dan implikasi terhadap landskap politik negara ini. -- Oleh: G. MANIMARAN

No comments:

Posting Terkini