Pages

Monday, January 17, 2011

Pemerintah sementara mahu laksanakan pembaharuan politik


TUNIS: Pemerintah sementara Tunisia semalam mengumumkan akan melaksanakan pembaharuan politik menyusuli penggulingan Presiden Zine El Abidine Ben Ali.

Kelmarin, Speaker Parlimen, Encik Foued Mebazaa, 78 tahun, telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Sementara.Beliau mengumumkan bahawa semua rakyat Tunisia, 'tanpa sebarang pengecualian' akan dapat melibatkan diri dalam politik negara.

'Satu pemerintah campuran perlu ditubuhkan bagi kepentingan negara yang lebih besar,' kata Encik Mebazaa.


Pemerintah campuran itu disyaratkan membabitkan parti pembangkang yang disisihkan selama 23 tahun lalu di bawah pemerintahan Ben Ali.

Majlis Perlembagaan mengisytiharkan pilihan raya Presiden akan diadakan dalam tempoh dua bulan mendatang.Pelantikan Encik Mebazza merupakan pertukaran tampuk kepimpinan yang kedua di negara Afrika Utara itu dalam tempoh 24 tahun.

Awal dari itu, Perdana Menteri, Encik Mohammed Ghannouchi, mengumumkan akan memegang jawatan itu buat sementara selepas Encik Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi

Semalam, Encik Ghannouchi dijadualkan menemui pemimpin penting bagi membincangkan pembentukan pemerintah campuran.

Parti pimpinan Encik Ben Ali akan turut disertakan dalam pemerintah baru itu.

Tunjuk perasaan besar-besaran di Tunisia dilapor tercetus bulan lalu apabila seorang pemuda membunuh diri selepas polis menghalangnya daripada menjual buahbuahan dan sayur-sayuran tanpa permit.

Sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan itu - tiga kali ganda lebih ramai berbanding perangkaan rasmi.

Kelmarin, pemergian Encik Ben Ali yang dituntut penunjuk perasaan masih tidak dapat meredakan keadaan.

Seramai 42 banduan di dua penjara terbunuh dalam rusuhan yang menyebabkan kebakaran di tempat tahanan itu, manakala perusuh turut menyerbu beberapa kedai dan membakar stesen kereta api.

Tunisia telah diletakkan di bawah keadaan darurat sejak Encik Ben Ali diguling Jumaat lalu selepas sebulan tunjuk perasaan besar-besaran.Askar dan kereta kebal pula telah dikerahkan ke ibu kota Tunis selepas kedai dan kediaman dijarah dan stesen kereta api bandar itu dibakar.

Sementara itu, di Washington, jurucakap Rumah Putih, Encik Tommy Vietor, berkata penggulingan Encik Ben Ali memberi peluang kepada rakyat Tunisia menentukan bentuk pemerintahan di negara itu.

Pilihan raya Presiden yang adil juga akan memberi tamparan kepada kumpulan pengganas Al-Qaeda di negara itu. -- AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini