BEIJING: China telah memulakan misi angkasa lepasnya, yang disifatkan bertempoh paling panjang, dengan pelancaran kapal angkasa Shenzhou-10, menurut laporan dan gambar-gambar stesen televisyen negara itu, semalam.
Ini sedang negara Asia Timur itu gigih meningkatkan program penerokaan angkasa lepasnya sebagai simbol kuasanya yang semakin menonjol di rantau itu.
Roket itu berjaya meluncur ke udara menuju ke pusat angkasa lepas Jiuquan di Gurun Gobi pada petang semalam
Tiga angkasawan yang menaiki kapal angkasa tersebut - termasuk Cik Wang Yiping, 33 tahun, wanita kedua China yang menerokai angkasa lepas - memberi penghormatan menerusi kamera-kamera yang dipasang dalam kapsul mereka itu.
Selang beberapa minit selepas pelancaran, alat pendorong pun ditanggalkan daripada roket berkenaan dan panel-panel solar Shenzhou-10.
Tepukan gemuruh kedengaran daripada kalangan mereka yang hadir menyaksikan pelancaran tersebut.
"Kapal angkasa itu sudah pun dalam orbit," kata Encik Zhang Youxia, ketua komander program angkasa lepas itu.
"Sekarang, saya ingin mengumumkan bahawa pelancaran itu adalah satu kejayaan yang besar," tambahnya.
Kakitangan kapal angkasa itu dijangka menghabiskan masa 15 hari dalam orbit, dalam satu misi yang dianggap sebagai langkah penting ke arah matlamat China untuk membangunkan stesen angkasa lepas sepenuhnya yang berupaya untuk menempatkan para angkasawan buat jangka masa yang lebih lama.
Presiden Xi Jinping, yang baru sahaja pulang daripada satu sidang dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, turut menyaksikan pelancaran Shenzhou-10 itu.
Beijing melihat program angkasa lepas berbilion dolar itu sebagai tanda kepada status sejagat dan kepakaran teknikalnya yang semakin meningkat, serta kejayaan Parti Komunis yang memerintah untuk memajukan negara yang pernah dilanda kemiskinan pada satu masa dahulu.
Projek tersebut dipromosikan secara besar-besaran kepada rakyat dalam negara itu dan stesen penyiaran CCTV, yang dimiliki pemerintah negara tersebut, telah memulakan liputan lintas langsung secara berterusan beberapa jam sebelum pelancaran kapal angkasa itu.
Encik Xi memberitahu ketiga-tiga angkasawan Shenzhou-10 bahawa beliau telah datang untuk menyaksikan mereka berlepas bagi pihak Parti Komunis, pemerintah, pihak tentera dan "semua rakyat di seluruh negara itu".
Dua lagi angksawan yang turut mengendalikan kapal angkasa Shenzhou-10 itu ialah Komander misi Nie Haisheng, dan Kolonel Zhang Xiaoguang.
China kali pertama menghantar manusia ke angkasa lepas pada 2003, namun, keupayaannya dalam bidang itu masih berada di belakang Russia. - AFP.
No comments:
Post a Comment