Himpunan Black505 pada 22 Jun 2013 tetap akan diadakan di Padang Merbok
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib pagi ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata buat masa ini penganjur kekal "status quo" untuk mengadakan himpunan itu di padang tersebut sekalipun DBKL tidak membenarkannya.
Dalam pertemuan lebih sejam itu bermula 8.15 pagi, Rafizi berkata perbincangan turut berkisar mengenai tawaran DBKL sebelum ini supaya mengadakan perhimpunan itu di Stadium Merdeka atau Stadium Titiwangsa.
Bagaimanapun, Rafizi berkata pihaknya tidak mempunyai mandat membuat keputusan dan akan berbincang perkara itu dengan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dan NGO berhubung perkara itu.
Beliau yang juga ahli parlimen Pandan sebaliknya menegaskan "tidak mengharapkan banyak perubahan akan berlaku".
"Setakat ini tidak ada perubahan (lokasi). Pertemuan (hari ini) berjalan dengan mesra tetapi keputusan kedua-dua pihak adalah sama pada asal. Kita mahu berhimpun di Padang Merbok.
"Kita akan bincang (mengenai Stadium Merdeka). Masih status quo. Kita akan update. Tapi saya tidak mengharapkan banyak perubahan," kata Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan.
Turut hadir dalam perbincangan itu ahli parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan Fung Koi Loon dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainuddin Ahmad.
No comments:
Post a Comment