Pages

Saturday, June 15, 2013

Rakyat Iran keluar mengundi

Rakyat Iran keluar mengundi
DIKERUMUNI PENYOKONG: Calon presiden Iran, Encik Saeed Jalili, dikerumuni para penyokongnya semasa satu rapat pilihan raya yang diadakan di Teheran pada Rabu lalu. - Foto REUTERS
TEHERAN: Rakyat Iran semalam keluar mengundi untuk memilih presiden baru mereka dalam pilihan raya dengan para reformis negara itu berharap calon mereka akan menang.
Ini sedang calon-calon konservatif yang disenaraikan bagi jawatan tersebut kelihatan berpecah belah, selang empat tahun selepas pelantikan semula Encik Mahmoud Ahmadinejad yang dipertikaikan secara meluas itu.
Ramai pengundi lelaki dan wanita kelihatan beratur menunggu giliran mengundi di luar pusat-pusat mengundi yang dibuka sejak 8 pagi (waktu tempatan), semalam.

Proses pengundian itu diteruskan sehingga 6 petang dan mungkin dilanjutkan jika jumlah pengundinya besar.
Lebih 50.5 juta orang layak mengundi memilih presiden baru yang akan menggantikan Encik Ahmadinejad, yang dilarang bertanding bagi penggal ketiga di bawah perlembagaan Iran.
Selain memilih presiden barunya daripada senarai enam calon itu, para pengundi juga memilih para wakil majlis perbandaran mereka.
Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang menggesa rakyat Iran supaya keluar mengundi beramai-ramai, telah keluar mengundi awal-awal lagi.
"Insya-Allah rakyat Iran akan mewujudkan sebuah epik politik baru. Saya telah menasihatkan kepada semua rakyat agar keluar mengundi," kata pemimpin Iran itu selepas beliau selesai mengundi.
Ayatollah Khamenei kemudian menyelar kritikan Amerika Syarikat yang menyoalkan kewibawaan pilihan raya presiden Iran itu.
"Neraka jahanam bagi anda... mereka yang tidak bersetuju dengan cara pilihan raya ini yang dijalankan," kata Ayatollah Khamenei, yang dipetik satu laporan televisyen.
"Rakyat Iran akan berbuat apa saja demi kepentingan mereka," tegasnya.
Kenyataan beliau itu dipersetujui oleh Ayatollah Ahmad Janati, ketua badan pilihan raya Majlis Pengawal Revolusi Iran, sambil berkata para pengundi "sedang mencucukkan jari-jemari mereka ke arah mata musuh".
Jika tidak ada sebarang calon berjaya menguasai lebih setengah daripada jumlah undian untuk memenangi pilihan raya itu selepas semalam, maka satu undian pusingan kedua akan diadakan seminggu kemudian.
Keputusan pertama pilihan raya dijangka diumumkan hari ini.
Dengan adanya perpecahan dalam kem pihak konservatif, para reformis kelihatan yakin bahawa calon mereka, Encik Hassan Rowhani, seorang ulama berfahaman sederhana, akan muncul sebagai calon yang boleh memenangi pilihan raya itu, menurut para pengamat.
Tiga calon mewakili ketua pihak konservatif Iran - bekas menteri luarnya, Encik Ali Akbar Velayati; Mayor Tehran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf; dan ketua perunding nuklear negara republik Islam itu, Encik Saeed Jalili.
Kedua-dua pihak, reformis dan konservatif, masing-masing merayu supaya lebih ramai pengundi keluar mengundi.
Penyokong kumpulan reformis mengharapkan berlakunya perubahan, manakala pihak konservatif pula mahu memastikan mereka yang setia kepada Ayatollah Khamenei menang.
"Ia satu kewajipan. Saya berharap presiden baru akan berbuat sesuatu untuk kami, dan untuk para pekerja. Saya akan mengundi Qalibaf kerana beliau seorang mayor yang baik. Saya berharap beliau akan mengotakan janji-janjinya," kata seorang wanita berusia 50 tahun yang sedang beratur menunggu gilirannya mengundi tetapi enggan mendedahkan namanya.
Mantan presiden, Encik Akbar Hashemi Rafsanjani, yang tidak layak bertanding, menggesa supaya lebih ramai keluar mengundi.
Para pengamat berkata jika ramai yang keluar mengundi, ia akan meningkatkan pretasi dan peluang Encik Rowhani mengatasi calon-calon konservatif.
"Kami berharap keputusan pilihan raya ini akan membawa ke arah perpaduan negara... kerana perpaduan adalah syarat bagi kejayaan terhadap bahaya-bahaya asing dan dalam negara," kata Encik Rafsanjani, yang kelihatannya menyokong Encik Rowhani.
Bagi kedua-dua pihak reformis dan konservatif, kunci kejayaan masing-masing dalam pilihan raya semalam akan ditentukan oleh mereka yang tidak mengundi kerana memprotes pelantikann semula Encik Ahmadinejad pada pilihan raya 2009.
Mereka mendakwa berlakunya penipuan besar-besaran pada pilihan raya itu. - AFP.

No comments:

Posting Terkini