ISTANBUL: Pasukan polis antirusuhan Turkey bertempur dengan sekumpulan pembantah sepanjang malam sehingga awal pagi semalam untuk menyuraikan bantahan yang berlaku di Dataran Taksim, di Istanbul, sejak hampir dua minggu lalu.
Bantahan itu dilakukan untuk memaksa Perdana Menteri negara itu, Encik Recep Tayyip Erdogan, meletak jawatan.
Menjelang fajar semalam, Dataran Taksim kelihatan seperti sebuah medan pertempuran, dipenuhi serpihan sekatan-sekatan yang dibina pembantah dan dipecahkan oleh jentolak, dengan beberapa teksi kelihatan sekali-sekala melalui kawasan yang ditinggalkan pembantah itu buat kali pertamanya sejak pergolakan berlaku 12 hari lalu.
Beberapa pembantah masih berada di Taman Gezi, sebuah taman yang berdekatan dengan Dataran Taksim.
Encik Erdogan dijangka menemui sekumpulan tokoh awam berhubung protes itu semalam, tetapi beliau kelmarin berkata bahawa beliau tidak akan tunduk kepada kehendak pembantah dan "Tayyip Erdogan yang ini tidak akan berubah".
Amerika Syarikat, yang pernah menganggap Turkey di bawah pimpinan Encik Erdogan sebagai model demokrasi negara Islam yang boleh dicontohi negara Arab di Timur Tengah, telah meluahkan kebimbangannya.
Ia menggesa agar pemerintah Turkey mengadakan dialog bersama para pembantah untuk mengatasi masalahnya itu. - Reuters.
No comments:
Post a Comment