Pages

Saturday, November 21, 2009

Perancang utama Geng Berong ditembak mati

PETALING JAYA: Seorang penjenayah yang dikehendaki, Herrie Berong, 48, mati ditembak dalam satu kejadian berbalas tembakan dengan polis, jam 8 malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan, berkata suspek yang dipercayai ketua Geng Berong, sebelum itu dilihat menaiki kereta Proton Waja yang dipercayai dicuri pada 17 Mei lalu di Desa Jaya dekat sini, di depan sebuah bank di Sri Damansara.

Polis kemudian bertindak mengekori suspek hingga ke Subang Bestari dan mengarahkan dia memberhentikan kenderaan.

"Bagaimanapun, suspek yang bertindak melepaskan tembakan ke arah polis, mati setelah terkena dua das tembakan," katanya kepada pemberita di sini.

Hasnan berkata Herrie yang memiliki taraf penduduk tetap turut dipercayai terlibat dalam 30 kes samun di sekitar Lembah Klang.

Turut dijumpai bersamanya ialah tiga bilah parang, sepucuk pistol automatik 0.32, enam butir peluru dan sebutir lagi peluru dalam ruang peluru.

Semasa ditembak, suspek dipercayai dalam perjalanan untuk melakukan satu lagi kes samun.

Modus operandi Herrie juga telah dikenal pasti iaitu apabila mangsa keluar dari bank, suspek akan melanggar kereta mangsa dan memecahkan cermin tingkap.

Kumpulan Berong dipercayai beroperasi selama dua tahun dan sering mencederakan mangsa mereka.

Polis kini memburu enam lagi anggota kumpulan itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini