Pages

Sunday, October 12, 2008

Bebaskan aliran maklumat kesihatan di rantau ASEAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Penyebaran pengetahuan baru dan pemindahan teknologi perubatan boleh membantu dalam pemantauan penyakit, rawatan dan pencegahan penyakit.

Pertumbuhan perdagangan dan peningkatan pelaburan asing serta peluang pekerjaan adalah kesan positif yang diperoleh ekoran liberalisasi perdagangan daripada perspektif kesihatan.

Perkara itu dijelaskan Menteri Kesihatan, Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi Haji Osman ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN Kesembilan yang diadakan serentak dengan Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN + 3 (China, Korea Selatan dan Jepun) Ketiga dan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN + China Kedua di Manila, Filipina.

Pada mesyuarat dua hari itu yang bermula semalam, Pehin Dato Seri Setia Haji Suyoi menegaskan mengenai perlunya pengawasan terhadap kesan negatif yang timbul daripada liberalisasi perdagangan, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Antara kesan negatif itu termasuk penubuhan pasaran duaan, ketidak-saksamaan dalam perkhidmatan kesihatan dan isu penghijrahan cendekiawan dari kalangan kakitangan kesihatan.

Beliau mengingatkan keselamatan kesihatan awam juga boleh terjejas melalui penyebaran penyakit berjangkit dan pergerakan produk pengguna yang tidak selamat.

Beliau seterusnya menyarankan supaya perlu diadakan usaha untuk mempertingkatkan pengurusan makanan dan kesihatan menerusi kawalan dan pemantauan yang berkesan bagi menangani masalah itu.

Mesyuarat yang membawa tema Liberalisasi Perdagangan: Impak Terhadap Masalah Kesihatan Tanpa Sempadan itu dirasmikan Setiausaha Kesihatan Filipina, Dr Fransico Duque III manakala mesyuarat bersama rakan dialog Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) membincangkan status kerjasama dan pencapaian matlamat kesihatan.

Sementara pada sesi mesyuarat tidak rasmi pula Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN bertukar pendapat dan bersetuju bagi mengambil langkah bersama untuk menangani isu kesihatan serantau dan antarabangsa terutama mengenai persediaan dan tindak balas terhadap pandemik influenza, bencana alam serta mutu dan keselamatan makanan.

Menteri-menteri juga mengecam penggunaan dengan sengaja bahan melamin dalam makanan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sebulat suara bersetuju terhadap pengharaman sepenuhnya amalan penggunaan melamin dalam makanan.

Turut dibincangkan pada mesyuarat berkenaan ialah isu baru termasuk pembabitan sektor kesihatan dalam merealisasikan Piagam ASEAN dan penggubalan draf Garis Panduan Tindakan Sosiobudaya Masyarakat ASEAN.

Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Mengenai Perkembangan Kesihatan pada 7 dan 8 Oktober sebagai persediaan kepada mesyuarat peringkat menteri.

Pada mesyuarat itu Brunei diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dato Paduka Haji Abdul Salam Abdul Momin serta beberapa pegawai kanan Kementerian Kesihatan

Antara agenda perbincangan mesyuarat itu termasuk beberapa bidang kerjasama dan isu teknikal seperti Program ASEAN+3 Mengenai Penyakit Berjangkit Baru Muncul, pembaharuan Memorandum Persefahaman di antara ASEAN dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Perlindungan Hak Cipta Harta Intelektual Perdagangan dan penubuhan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN Mengenai Keselamatan Makanan.

ASEAN dianggotai Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

permata

No comments:

Posting Terkini