Pages

Tuesday, September 9, 2008

Huan Letak Jawatan Ketua Pemuda BN Pulau Pinang

PENANG, 9 Sept (Bernama) -- Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Huan Cheng Guan hari ini mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yang disandangnya, berkuatkuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada media dari Taiwan, Huan berkata beliau telah memaklumkan keputusannya kepada Ketua Pemuda BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Dalam keadaan pada masa ini, adalah tidak wajar bagi saya memegang jawatan berkenaan. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Hishammuddin," katanya.

Pada masa ini, Huan, yang juga setiausaha eksekutif Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) sedang berada di Taiwan, mengiringi 41 Anggota Parlimen dalam lawatan sambil belajar selama seminggu.

Malam tadi, Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengumumkan Gerakan Pulau Pinang memutuskan hubungan dengan Umno Pulau Pinang ekoran tindakan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail mengeluarkan kenyataan berbau perkauman.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA negeri, Ng Hiap Boon ketika dihubungi berkata beliau tidak menduga Huan akan bertindak meletakkan jawatannya berikutan isu berkenaan.

Katanya Huan tidak membincangkan perkara itu dengan anggota BN yang lain sebelum membuat keputusan itu.

"Sepatutnya beliau memanggil mesyuarat Pemuda BN Negeri dan memaklumkan kepada kami terlebih dahulu sebelum meletakkan jawatannya," katanya.

Bagaimanapun, Ng berkata beliau menghormati keputusan Huan yang dibuat selaras dengan keputusan partinya untuk tidak bekerjasama dengan Umno negeri.

Beliau berkata MCA akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan mereka di dalam BN.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Datuk Abdul Salim Bari kesal dengan tindakan Huan itu yang disifatkan sebagai terburu-buru dan tidak menerima penjelasan mengenai kedudukan isu itu.

"Di saat perpaduan kita mengalami ujian, beliau dengan mudah melepaskan jawatan dan tanggungjawabnya begitu sahaja tanpa berbincang dengan rakan-rakan komponen yang lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC negeri, M.Suresh berkata Pemuda BN harus segera mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu itu dan mencari kaedah untuk menyelesaikannya dengan cara terbaik.

Katanya beliau menerima cadangan daripada anggotanya yang meminta supaya MIC menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut antara Umno dan kedua-dua parti komponen BN yang ditunjangi masyarakat Cina iaitu MCA dan Gerakan.

"Sebagai sebuah keluarga dalam BN, jika ada pergaduhan antara adik dan abang, adik yang lagi satu boleh masuk campur untuk meredakan keadaan," katanya.

No comments:

Posting Terkini