KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- MCA mahu para pemimpin Barisan Nasional (BN) berhenti menyembunyikan masalah dan tindakan tegas mestilah diambil terhadap Datuk Ahmad Ismail ekoran sikapnya yang enggan memohon maaf dan tidak sedikit pun kesal dengan kenyataannya yang berbau perkauman.
Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting berkata BN tidak boleh lagi mengabaikan rasa tidak puas hati masyarakat Cina yang semakin memuncak ekoran kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera itu.
Katanya tindakan segera mesti diambil bagi membendung masalah itu sebelum ia tidak dapat dikawal jika BN mahu terus dilihat sebagai sebuah parti yang mewakili semua kaum di negara ini.
"Kita tidak boleh lagi mengikut cara lama, tidak perlu berbincang, tidak perlu mendengar. Jika ada masalah, hanya mendiamkan diri sahaja. Ini bukan caranya menyelesaikan masalah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di Wisma MCA di sini, Selasa.
Semalam, Ahmad telah meminta BN memecat Gerakan daripada gabungan parti itu manakala para penyokongnya bertindak mengoyakkan gambar Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon.
"Kami berasa sangat tidak gembira dengan tindakan Ahmad. Apa yang dilakukannya (semalam) memberi kesan sangat buruk dan melukakan hati masyarakat Cina di negara ini. Beliau langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada parti komponen BN yang lain. Kami mahu tindakan segera diambil terhadapnya," kata Ong.
Beliau berkata MCA akan terus menggerakkan perubahan dalam BN dan Umno, yang menjadi tulang belakang parti pemerintah itu, seharusnya tidak mengabaikan suara rakan-rakan parti komponen.
"Kami mahukan perubahan nyata. Kami rasa kami mempunyai hak untuk menyuarakan pendirian, tindakan dan cadangan yang serius untuk menjadikan BN lebih baik dan memenuhi aspirasi rakyat berbilang kaum," katanya.
Dalam perkembangan lain, Majlis Presiden parti itu bersetuju melantik Pengerusi Biro Publisiti Tan Sri Wong See Wah menggantikan setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu pemilihan parti yang baru.
Ka Chuan meletakkan jawatan itu hari ini bagi membolehkannya bertanding dalam pemilihan parti itu bulan depan, di mana beliau diuar-uarkan bertanding jawatan timbalan presiden.
Sementara itu, Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Liow Tiong Lai ketika ditemui pemberita kemudian, berkata MCA Pulau Pinang tidak teragak-agak untuk memutuskan hubungan dengan Umno Pulau Pinang jika tiada tindakan diambil terhadap Ahmad dalam masa terdekat ini.
Tuesday, September 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment