Monday, June 27, 2011
Laman web golongan lesbian pikat lebih 1,600 ahli dari seluruh Malaysia
KUALA LUMPUR: Merisaukan apabila satu laman web bagi golongan 'lesbian' dan 'tomboy' mampu menarik lebih 1,600 anggota dari seluruh Malaysia.
Segelintir daripadanya secara terang-terangan mendakwa gemar menjalin hubungan sejenis, seolah-olah menggambarkan kegiatan tersebut semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Golongan songsang itu tanpa segan silu memaparkan nama dan nombor telefon bimbit masing-masing dalam laman web berkenaan supaya mudah dihubungi mereka yang berminat.
Ada antara mereka sanggup mengajak pasangan yang baru dikenali daripada laman web berkenaan agar mengadakan seks rambang dengan rakan mereka.
Pemerhatian akhbar Metro Ahad mendapati kebanyakan gadis yang menyertai laman cari teman itu terdiri daripada wanita-wanita dalam lingkungan usia 19 hingga 30 tahun.
Profil kebanyakan wanita terbabit menunjukkan mereka berpelajaran tinggi, menuntut di universiti terkenal tempatan dan ada juga yang bekerja serta mempunyai jawatan bertaraf eksekutif di beberapa syarikat besar.
Hasil pemerhatian itu juga mendapati kelompok songsang tersebut menjadikan laman web berkenaan sebagai tempat meluahkan perasaan selain membuka ruang untuk ahli baru mendaftarkan diri.
Salah seorang daripada mereka yang menyertai laman itu ialah seorang gadis yang menggelarkan dirinya Ayish, 23 tahun.
Menurut Ayish, beliau mula menyertai laman web berkenaan sejak tujuh bulan lalu dan sejauh ini telah bertemu dengan 10 gadis yang meminati 'tomboy' sepertinya.
'Jika di luar sana, pasti sukar untuk mendekati gadis. Lagipun, nanti orang pandang serong pula. Tetapi dengan laman web berkenaan, semuanya secara terbuka dan mereka yang menyertainya mempunyai minat yang sama,' katanya.
Bagi seorang lagi gadis yang dikenali sebagai Shima, 26 tahun, beliau lebih gemar menjadi 'lesbian' kerana tidak perlu menukar penampilan seperti seorang lelaki.
Menurutnya, beliau mula terbabit dengan kegiatan songsang itu ketika masih menuntut di sekolah.Ini kerana bercinta dengan gadis lebih menyeronokkan berbanding lelaki.
'Bagi saya, seorang wanita lebih mengambil berat, penyayang dan memahami hati serta perasaan saya. Sebab itu saya rasa bahagia setiap kali bersama dengan wanita yang saya sukai,' katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment