Pages

Monday, June 27, 2011

Ratusan rakyat Syria lari ke Turkey


Warta Kerajaan - BEIRUT: Beratus-ratus rakyat Syria telah menyeberangi sempadan Lebanon untuk melarikan diri daripada serbuan pasukan keselamatan pemerintah.

Sebahagian besar daripada mereka tiba di sempadan itu selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di serata Syria Jumaat lalu.

Para aktivis berkata 20 orang, termasuk dua kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun, telah terkorban. Majoriti kematian dilaporkan di kejiranan Barzeh, di ibu kota Damsyik, dan di bandar Al-Kaswa.

Korban jiwa lain berlaku di bandar Homs.

Kelmarin, pasukan keselamatan Syria mengerahkan lebih ramai askarnya di Barzeh, Al-Kaswa, Zabadani dan Bloudan, dan menahan sekitar 150 orang.


Sekitar 1,400 orang dilaporkan terkorban sejak bantahan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad tercetus sekitar tiga bulan lalu.

Menurut para aktivis, askar Syria yang diiringi kereta kebal turut menyerbu sebuah lagi kampung, Al-Najieh, berdekatan sempadan dengan Turkey.

Kemaraan pasukan keselamatan serupa itu menyebabkan penduduk Syria melarikan diri ke negara-negara jiran.

Jumaat lalu, sehingga 1,000 penduduk melarikan diri ke kampung Kneiseh di wilayah Akkar, utara Lebanon.

Sebahagian besar mereka datang dari kampung Al-Quseir, tempat pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan pada hari itu.

Sekurang-kurangnya enam rakyat Syria yang mengalami kecederaan ekoran tembakan merupakan antara pelarian itu.Mereka kemudian mendapatkan rawatan di hospital Akkar.

Buat masa ini, lebih 11,700 pelarian Syria sudah berada di perkhemahan perlindungan di Turkey.

Sementara itu, pihak berkuasa Syria menggesa para pelarian itu supaya kembali ke tanah air, selepas pasukan keselamatan mengambil alih kawalan di wilayah utara Idlib.

Namun, tawaran itu ditolak kerana mereka khuatir akan ditangkap dan didakwa sebaik sahaja mereka pulang.'Mereka hanya mahu melihat keluarga yang telah melarikan diri dan datang ke sini,' kata seorang pelarian Syria di Turkey yang curiga mengenai tawaran tersebut. -- AP.



No comments:

Posting Terkini