Pages

Saturday, June 25, 2011

Rahim: ‘Pengorbanan’ kami berbaloi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Risda,  Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menyifatkan matlamatnya dan dua lagi ‘Datuk T’ mendedahkan video seks yang dikatakan mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tercapai.
Abdul Rahim ketika ditemui pemberita di perkarangan luar mahkamah berkata, dengan pendedahan sedemikian mampu membuka mata rakyat dan mahu rakyat menilai sendiri pemimipin yang korup dari segi moral.
“Kita korbankan diri untuk memastikan kita mencapai matlamat ini supaya rakyat dapat menghakimi perkara sebenar.

“Menjadi harapan saya supaya tidak ada keraguan lagi terhadap apa yang dipersoalkan, selepas ini tidak ada lagi kenyataan ‘mirip’  Anwar Ibrahim.
“Kerana itu kita pohon rakyat guna kebijaksanaan dalam menentukan masa depan dan membuat keputusan terbaik dalam masa akan datang khususnya dalam pilihanraya akan datang,” katanya selepas selesai kes pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini tengahari tadi.
Dua lagi Datuk T ialah ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Sehubungan itu, Abdul Rahim berharap dengan keputusan kes ini tidak akan ada lagi sebarang penafian daripada mana-mana pihak yang mahu menafikan penglibatan Anwar dalam isu moral.

Yakin Anwar
“Kita tidak lagi dapat terima penafian apa-apa daripada mana-mana pihak sekarang kerana kita yakin Anwar terlibat dan melakukan maksiat untuk mempertahankan keselamatan negara kita.
“Pemimpin korup dari segi moral mudah sahaja akan terdedah kepada perkara korup yang lain, kerana itu kita berpendapat Anwar tidak layak menjadi pemimpin negara,” katanya yang kemudiannya turut disokong dengan laungan penyokongnya.
Perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta dibanjiri oleh pihak media dan penyokong ‘DatukT’ yang membawa kertas manila yang  ditulis dengankata-kata sokongan.
Antara kata-kata semangat itu ialah ‘pejuang kebenaran Datuk T:-Perkasa’, ‘We Love Datuk T’, ‘Perkasa Tentang Pengkhianat Bangsa’, ‘Bebaskan Datuk T’ dan ‘Datuk T Korbankan Diri Demi Keadilan’.
Kes tersebut dibicarakan di Mahkamah Majistret 3 dan beberapa anggota polis mahkamah dilihat membawa masuk dua buah televisyen LCD 42 inci ke dalam kamar mahkamah sebelum perbicaraan berlangsung.
Galeri awam mahkamah juga dipenuhi oleh orang awam termasuk wartawan menyebabkan polis terpaksa mengarahkan mereka yang berdiri untuk keluar.

No comments:

Posting Terkini