Pages

Wednesday, May 18, 2011

Obama mula proses diplomasi Timur Tengah


Warta Kerajaan Rakyat
Presiden AS dijadual bertemu Raja Jordan dan PM Israel


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, semalam dijadualkan bertemu Raja Abdullah II dari Jordan sebagai menandakan bermulanya proses diplomasi Timur Tengah sepanjang minggu ini.

Encik Obama akan juga menemui Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, minggu ini; membuat ucapan utama mengenai pergolakan di Dunia Arab; dan bertemu pelobi Israel yang berpengaruh di Amerika pada Ahad ini sebelum berlepas ke Eropah.


Dalam pertemuan yang dijadualkan berlangsung di Pejabat Oval di sini, Raja Abdullah dijangka memberi amaran kepada Encik Obama bahawa masa semakin suntuk untuk merapatkan jurang antara Israel dengan Palestin.

Beliau juga akan menekankan kepada Encik Obama tentang tumpuan yang harus terus diberikan kepada usaha mencapai perjanjian damai antara kededua negara itu.

Raja Abdullah juga berkata pihaknya akan membincangkan pergolakan di Dunia Arab dan bagaimana Amerika memberikan reaksinya.

'Cabaran bagi kita semua ialah melakukan perkara yang betul dan peranan Amerika Syarikat penting bagi menentukan hala tuju Timur Tengah,' kata Raja Abdullah kelmarin.

Encik Obama dijadualkan memberikan butir terperinci berkaitan respons Amerika kepada perubahan politik dan pergolakan di Dunia Arab dalam satu ucapan utamanya lusa.

Pencabar politik Encik Obama telah menuduhnya tidak bertindak secara konsisten dalam menangani pergolakan di Dunia Arab.

Encik Obama dikatakan lambat mempertahankan nasib penunjuk perasaan yang ditembak pasukan keselamatan pemerintah di beberapa negara Arab, seperti di Syria.

Dalam pada itu, Encik Netanyahu dijadualkan tiba ke Washington lusa dan akan mengadakan pertemuan dengan Encik Obama pada Jumaat ini.

Rundingan secara langsung antara Israel dengan Palestin, yang digerakkan oleh Washington, menemui jalan buntu tahun lalu.

Sejauh ini Encik Netanyahu enggan bertolak ansur dan pembentukan pemerintah bersatu di antara Hamas dengan Fatah baru-baru ini memburukkan lagi keadaan.

Isnin lalu, Encik Netanyahu menyifatkan pemerintah sementara Palestin itu sebagai 'satu malapetaka'.Selama ini Israel menyifatkan Hamas sebagai sebuah kumpulan pengganas.

Keadaan menjadi tegang Ahad lalu apabila 14 orang ditembak mati oleh askar Israel sedang beribu-ribu penunjuk perasaan Palestin cuba menceroboh sempadan Israel sebagai membantah penubuhan negara Yahudi itu pada 15 Mei 1948.

'Ia tidak akan bergerak ke mana-mana. Saya rasa apa yang kita ada ialah status quo. Kita kini dalam keadaan buntu,' kata Encik Steven Cook daripada Majlis berkaitan Hubungan Luar Amerika. -- AFP.






No comments:

Posting Terkini