Pages

Thursday, March 24, 2011

Laporan kewangan Yayasan Selangor lebih sistematik sejak 2008


SHAH ALAM: Laporan Kewangan Yayasan Selangor (YS)  lebih sistematik sejak 2008 selepas Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor kerana syarikat milik kerajaan negeri itu tidak pernah mengeluarkan laporan kewangan sejak 2004.
Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, hanya selepas itu, kakitangan YS diarah menyediakan laporan kewangan yang lengkap bermula tahun-tahun sebelumnya iaitu dari 2005 hingga 2010.
Menurutnya, sejak itu YS mencatatkan perbelanjaan defisit dan lebihan pendapatan dalam setiap penyata kewangan tahunannya.

“Mereka yang mendakwa defisit tahun lepas akan menyebabkan Yayasan Selangor akan bankrap sebenarnya tidak mendapat gambaran sepenuhnya.
“Kita tidak boleh membuat kesimpulan dengan hanya membaca akaun untuk satu tahun,” kata Khalid pada sidang media khas bagi menerangkan kedudukan akaun dan kewangan Yayasan Selangor di Shah Alam, hari ini.
Beliau memberi contoh pada 2005 dan 2006, YS mengalami defisit sebanyak RM10 juta dan RM8.1 juta. Manakala 2010 pula, YS sekali lagi mengalami defisit sebanyak RM3.9 juta.
Khalid berkata, sejak Pakatan mengambil alih, pendapatan sewa bangunan dan tanah meningkat sekali ganda selepas YS menyemak semula kadar sewa mengikut pasaran.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga telah menghentikan projek usaha sama yang tidak menguntungkan seperti  pembangunan di Lot 2450 Mukim Damansara di mana Yayasan hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM53.85 juta.
“Kita telah hentikan projek usaha sama untuk pastikan pada masa depan mana-mana projek usaha sama memberi keuntungan setimpal kepada yayasan,” katanya.
Menteri Besar berkata, Yayasan Selangor telah melantik akauntan bebas, Tetuan Ahmad & Goh untuk meneliti semua penyata kewangan Yayasan Selangor .
Laporan audit itu akan disediakan pada bulan depan untuk diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor yang dijangka pada Mei ini.
Menurutnya lagi, Lembaga Pengarah Yayasan Selangor juga bersetuju memberi peluang kepada Ilham Marzuki untuk terus menerajui Yayasan Selangor sehingga kontraknya tamat dalam masa dua tahun.

No comments:

Posting Terkini