Pages

Thursday, September 16, 2010

Sekilas Dunia

Jiran dituduh bunuh ustazah

SEREMBAN: Jiran seorang ustazah dan anaknya yang ditemui mati di rumah mereka di Port Dickson pada 2 September lalu, semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh dua beranak itu.

Ali Tan Abdullah, 34 tahun, dituduh membunuh Allahyarhamha Norliza Ishak, 35 tahun dan anaknya, Amirul Ayman Mohd Yusof, 10 tahun.

Majistret M. Mageshwary menetapkan 18 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu. -- Bernama.


Musharraf mahu lancar parti baru

HONGKONG: Mantan Presiden Pakistan, Encik Pervez Musharraf, semalam berkata beliau akan melancarkan parti baru pada 1 Oktober ini.

Ini untuk merealisasikan usahanya kembali memerintah negara itu yang kini berdepan dengan konflik politik.

Encik Musharraf, yang banyak menghabiskan masa di Britain, berkata beliau bakal kembali ke Pakistan untuk menyertai pilihan raya umum pada 2013. -- AFP.



Kelantan hanya ada satu sultan

KOTA BAHRU: Rakyat Kelantan diminta supaya bertenang dan tidak terkeliru dengan dakwaan bahawa wujudnya dua sultan di Kelantan ekoran pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru di Istana Balai Besar di sini, Isnin lalu.

Jurucakap Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamed, berkata hanya ada seorang sultan di negeri itu iaitu Tuanku Muhammad Faris Petra kerana istiadat pemasyhuran beliau adalah sah di sisi undang-undang dan perlembagaan negeri.

Sebelum ini, kakak Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra, mendakwa bahawa Sultan Ismail Petra masih Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta. -- Utusan Malaysia.



Italy rampas harta peniaga mafia

ROME: Polis Italy merampas harta berjumlah AS$1.9 bilion ($2.5 bilion) milik seorang ahli perniagaan, Vito Nicastri, 54 tahun, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan mafia.

Hasil siasatan polis mendapati, ahli perniagaan terbabit terlibat dalam beberapa perniagaan haram.

Ia dipercayai merupakan rampasan terbesar dalam sejarah yang pernah dibuat oleh polis Italy. -- AP.



No comments:

Posting Terkini