Pages

Thursday, September 16, 2010

17 pembunuhan lain ada kaitan dengan suspek?

BANTING: Bukan empat, bukan sembilan malah 17 pembunuhan sejak beberapa tahun lalu dipercayai boleh dikaitkan dengan suspek-suspek utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi sekutu beliau.

Pendedahan memeranjatkan itu menyusuli langkah polis meneliti laporan awal yang mengaitkan kes pembunuhan dan kehilangan beberapa individu kepada dua peguam adik-beradik yang ditahan baru-baru ini, lapor sebuah akhbar Malaysia, semalam.

Akhbar New Straits Times (NST) berkata, pihaknya difahamkan bahawa polis dan Pejabat Peguam Negara Malaysia telah bertemu beberapa kali sedang siasatan ke atas suspek-suspek itu digiatkan.

Bagaimanapun, difahamkan juga bahawa beberapa siasatan itu terhalang kerana kegagalan mengesan mayat mangsa.

Polis kini sedang berusaha mencari sisa-sisa tulang atau barangan milik peribadi mangsa pembunuhan terbaru para suspek itu di beberapa sungai dan anak sungai di sekitar kawasan Banting.

Sejauh ini, sejak siasatan ke atas pembunuhan Datuk Sosilawati, 47 tahun, dan tiga sekutunya dimulakan, polis menemui sisa-sisa tulang manusia, jam tangan dan dua bilah pisau.

Ujian Asid Deoxyribonucleic (DNA) akan dijalankan ke atas tulang-tulang itu bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Hingga kini, polis masih berkhemah di ladang suspek di Sungai Gadung, dekat Tanjung Sepat, dan kawasan sungainya bagi meneruskan siasatan, lapor NST.

Kelmarin, polis menggeledah rumah dan pejabat suspek, sebelum merampas beberapa pemacu cakera komputer dan dokumen yang disimpan suspek.

Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, Ahad lalu, berkata kes empat orang yang pernah dilapor hilang akan disiasat semula berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mereka berkaitan dengan dua peguam berkenaan.

Sumber-sumber berkata mereka yang 'hilang' ialah seorang peguam India, Encik Allal Kanthan Muthu Raja, 34 tahun, seorang wanita tempatan dan dua lelaki lain.

Akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan bahawa antara empat mangsa tersebut termasuk juga seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Encik K. Celladuran, 50 tahun, yang pernah dilaporkan dibunuh pada 8 Mac lalu.

Pembunuhan itu dipercayai dilakukan oleh empat daripada lapan suspek yang kini ditahan polis berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati.

Mereka, yang ditahan oleh Polis Bukit Aman, telah diserahkan kepada Polis Daerah Gombak untuk disoal siasat berhubung kes pembunuhan kakitangan Unit Perancangan Setinggan MPS itu.

Encik Celladuran mati ditembak dua lelaki ketika beliau keluar daripada rumahnya, di Jalan 40, Selayang Baru, dekat Kuala Lumpur, untuk ke pejabat.

Polis, dalam kenyataannya sebelum ini, juga tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak Encik Celladuran adalah individu sama yang terlibat dalam kes tembak seorang lelaki di Jalan Puchong, dekat IOI Mall, Kuala Lumpur, pada 4 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Abdul Rahim Abdullah, berkata keempat-empat suspek itu diserahkan kepada pihaknya kelmarin.

Semalam, polis berkata ia dan Pejabat Peguam Negara sedang dalam proses menyediakan pertuduhan terhadap para suspek yang ditahan itu, lapor versi dalam talian akhbar The Star.

Dalam perkembangan terbaru semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya menganggap kes pembunuhan Datuk Sosilawati berjaya diselesaikan.

Tan Sri Ismail berkata, satu pasukan petugas khas turut dibentuk bagi menyiasat semua kes individu yang dilaporkan hilang yang dianggap berkaitan dengan dua suspek peguam itu.

Beliau juga menegaskan, semua laporan kehilangan individu harus segera disiasat dengan teliti bagi mengelakkan berulangnya insiden yang sama.

No comments:

Posting Terkini