Pages

Friday, March 19, 2010

'Pasti ada hikmah di sebalik kejadian'

PERNAH satu ketika digelar 'Polis RM27 juta', Datuk Ramli Yusuff terpaksa sukar melelapkan mata pada malam hari dan sering dihantui igauan sejak tiga tahun lalu.

Sebagai seorang yang begitu komited dan menumpukan seluruh hidup beliau kepada usaha menjaga keamanan dan membasmi jenayah di seberang tambak, tempoh sepanjang tiga tahun lalu merupakan tempoh paling sukar baginya.

Ini kerana bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Bukit Aman itu terpaksa menghadapi kecurigaan, cemuhan dan penghinaan di khalayak awam.

Pada 2007, nama Datuk Ramli tertera pada tajuk-tajuk berita di seluruh Malaysia selepas beliau didakwa dan ditahan oleh para pegawai Biro Pencegah Rasuah (BPR) - kini ditukar menjadi Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) - kerana tidak mengisytiharkan asetnya yang dianggarkan berjumlah RM27 juta ($11.4 juta).

Dakwaan itu kemudian ditukar menjadi kegagalan mengisytiharkan pemilikan 20,000 unit saham Telekom Malaysia Berhad, 154,000 unit saham Permaju Industries Berhad dan kepentingannya dalam dua lot pejabat bernilai RM1,032,840 ($435,652), yang dilakukan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya BPR, di Putrajaya, pada 17 September 2007.

Bagaimanapun, Sabtu lalu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah membebaskan Datuk Ramli daripada semua tuduhan itu. Beliau kini seorang manusia bebas.

'Mujur, saya mempunyai seorang isteri yang senantiasa menyokong, yang membantu memberikan perspektif kepada semua ini.

'Ibu saya meninggal dunia dalam tempoh itu. Bapa saya jatuh sakit. Saya adalah satu-satunya anak lelaki dalam keluarga saya dan berlakunya hal ini telah membawa malu kepada saudara-saudara perempuan saya yang menjaga orang tua saya di kampung saya di Bunut Susu, Kelantan,' kata Datuk Ramli, melalui peguamnya, Encik Rosli Dahlan, yang dikirmkan kepada akhbar Berita Harian melalui e-mel, lewat kelmarin.

Tidak pernah terlintas dalam benak Datuk Ramli bahawa peristiwa itu akan berlaku ke atasnya.

'Semangat keakraban dan kesekawanan sudah mati. Jika ini boleh berlaku ke atas saya maka ia juga boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam pasukan (polis) ini.

'Anda lakukan demikian, dan anda akan menghancurkan semangat sebuah pertubuhan berpakaian seragam dan itu sebabnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) adalah apa yang ada sekarang,' tambah beliau.

Datuk Ramli yang telah menyerahkan diri beliau untuk menjalani proses undang-undang dan kini dibebaskan daripada semua tuduhan yang dihadapinya itu, berharap pihak awam boleh menerimanya sebagai satu pewajaran - bahawa semua pertuduhan terhadap beliau adalah palsu sejak daripada asalnya lagi.

Menurut Encik Rosli, Datuk Ramli telah membuat 35 perisytiharan aset kepada jabatannya sepanjang khidmat beliau dalam PDRM selama lebih 33 tahun.

Namun, apabila Tan Sri Musa Hassan menjadi Ketua Polis Negara pada 2006, Datuk Ramli diberitahu bahawa Pingat Setia Perkhidmatan Polisnya (PSPP) ditahan atas alasan adanya siasatan yang dijalankan terhadap beliau berkaitan aset-asetnya.

Pada 2007, apabila Datuk Ramli berjaya membongkar kes kontroversial berkaitan kegiatan sindiket pinjaman wang haram, atau 'along', yang membabitkan suspek, Goh Cheng Poh @Tengku Goh, tiba-tiba beliau menjadi tumpuan siasatan BPR.

'Sebagai seorang Islam, saya menerima suratan takdir. Pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Saya harap pengalaman ini akan membuat saya menjadi orang lebih baik,' kata Datuk Ramli, sambil membayangkan bahawa beliau bersedia berkhidmat dalam PDRM jika negara masih memerlukan khidmatnya.

'Jika Menteri Dalam Negeri mengarahkannya, saya bersedia berkhidmat kepada negara untuk memulihkan integriti dan semangat kesekawanan PDRM,' ujarnya.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, mengumumkan bahawa PDRM sedang menjalani peralihan kepimpinan dan turut membabitkan Tan Sri Musa, yang dijangka bersara September ini.


No comments:

Posting Terkini