Pages

Tuesday, February 2, 2010

Media China tuduh AS angkuh

BEIJING: Media setempat China semalam menuduh Washington 'angkuh' dan mengamalkan 'dwitara' apabila meneruskan penjualan senjata kepada Taiwan.

Pentagon telah mencetuskan ketegangan hubungan dua hala dengan Beijing apabila ia meluluskan penjualan pakej senjata bernilai AS$6.4 bilion ($9 bilion) kepada Taiwanyang membabitkan peluru berpandu Patriot, helikopter Black Hawk, kapal pemusnah periuk api dan peralatan komunikasi untuk jet pejuang F-16 milik Taiwan.

China membidas tindakan itu dengan menggantung lawatan ketenteraan dengan Amerika dan mengancam akan mengenakan sekatan ke atas firma pertahanan Amerika.

Ia juga memberi amaran kepada Amerika bahawa penjualan senjata itu akan memberi kesan buruk ke atas hubungan dua hala.

Semalam, akhbar berbahasa Inggeris China Daily dan Global Times, menuduh Presiden Amerika, Encik Barack Obama, sebagai tidak ikhlas apabila menyatakan beliau tidak berniat mengekang kebangkitan China semasa melawat China November lalu.

'Respons China, walaupun lantang adalah wajar,' kata akhbar China Daily.

'Keangkuhan Washington juga mencerminkan bahawa kepentingan sesebuah negara boleh ditindas oleh negara lain,' tambahnya.

Akhbar Global Times pula berkata sekatan ke atas syarikat Amerika yang menjual senjata kepada Taiwan merupakan 'pilihan berkesan berbanding tindakan tegar lain bagi menangani perselisihan diplomatik ini'.

'Sudah tiba masanya, Amerika merasakan bahang ekoran penjualan senjatanya kepada Taiwan,' kata akhbar itu.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pertahanan Amerika bagi Asia Pasifik, Encik Wallace Gregson, berkata Washington ingin mengekalkan hubungan baik dengan China tetapi ia tidak boleh menggugurkan hubungannya dengan Taiwan. -- Reuters, AFP.

No comments:

Posting Terkini