Pages

Tuesday, February 2, 2010

Mahkamah batal keputusan cerai paksa

RIYADH: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin membatalkan keputusan mahkamah sebelum ini yang memaksa sepasang suami isteri muda Arab Saudi bercerai tanpa kerelaan mereka.

Ia dianggap keputusan paling dramatik pernah dicapai setakat ini membabitkan kes cerai paksa di negara itu.

Mahkamah itu membatalkan keputusan Mahkamah Al-Jouf yang dibuat empat tahun lalu yang mengarahkan pasangan Encik Mansour Al-Taimani dan Cik Fatima Al-Azzaz bercerai atas alasan s kedudukan sosial si suami yang rendah.

Kes itu mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa.

Pasangan itu berkahwin pada 2003 dan mendapat restu bapa Cik Fatima, seperti yang dikehendaki undang-undang Arab Saudi.

Bagaimanapun, selepas bapanya meninggal abang tirinya menuntut mahkamah membatalkan perkahwinan itu atas alasan pasangan itu tidak setaraf.

Pasangan itu menentang permintaan itu dan Cik Fatima mendakwa abang tirinya bertindak demikian kerana mahu menguasai hartanya.

Bagaimanapun, Mahkamah Al-Jouf membuat keputusan yang memihak abang tirinya.

Hakim membatalkan perkahwinan itu dan mengarahkan Cik Fatima menghabiskan masa idah tiga bulan seorang diri. Hakim juga mengarahkan hukuman itu dilaksanakan serta-merta.

Selepas keputusan berkenaan, pasangan terbabit dipaksa tinggal berjauhan.

Cik Fatima tinggal di rumah perlindungan bagi wanita yang bercerai kerana tidak mahu menetap bersama abangnya dan tidak mahu mereka menjadi pelindungnya.

Dalam keputusannya membatalkan keputusan Mahkamah Al-Jouf, Mahkamah Tinggi Riyadh berkata, perkahwinan itu sah kerana Cik Fatima memperoleh kebenaran ayahnya.

Hakim juga mengambil kira bahawa pasangan itu sudah mempunyai dua anak, Nuha, enam tahun, dan Sulaiman, empat tahun. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini