Pages

Tuesday, February 2, 2010

Undi tidak yakin pada Khairy

KUALA LUMPUR: Sumber-sumber serba tahu dalam Umno berkata sebuah jawatankuasa eksekutif Pemuda Umno merancang mengetengahkan satu undian tidak yakin terhadap ketua mereka, Encik Khairy Jamaluddin, tidak lama lagi, demikian lapor beberapa laman web media di Malaysia.

Kelihatannya, terdapat rasa kurang puas hati yang semakin meningkat dalam Pemuda terhadap kepimpinan Encik Khairy dan fahaman liberalnya.

Perasaan itu memuncak berikutan kenyataan terbaru beliau bahawa Umno telah secara tidak sedar menjadi sebuah parti pelampau, kata satu laporan laman web berita semalam.

Ulasan beliau itu dipercayai telah mencetuskan kemarahan beberapa pegawai tinggi Umno, termasuk Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil memetik laporan bahasa Inggeris daripada laman berita Harakah Daily, laporan dalam talian itu berkata jawatankuasa Pemuda Umno itu telah pun mendapatkan jumlah undian yang boleh menyingkirkan beliau.

Langkah itu dilaporkan telah mendapat restu Datuk Seri Najib, Naib Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mantan perdana menteri negara itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah lama membidas anak menantu mantan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pakar strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Tian Chua berpendapat bahawa adalah mustahil bagi Encik Khairy bertahan terhadap cabaran langkah menyingkirkannya.

'Mungkin ada saingan hebat tetapi mari lihat sama ada Khairy boleh bertahan semua ini,' katanya.

'Beliau mungkin boleh memeranjatkan semua orang dengan menerbalikkan suasana itu ke atas musuh-musuhnya,' tambah beliau.

Pakar strategi Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dr Dzulkefly Ahmad, akur dengan pandangan Encik Tian Chua, sambil berkata bahawa adalah terlalu awal untuk mengetepikan Encik Khairy.

'Adalah aneh sebenarnya bagi Umno mahu menyingkir beliau,' katanya sambil menambah bahawa beliau adalah aset yang boleh mengawal keperluan parti itu daripada ahli-ahli tegar dan pengaruh mantan perdana menteri, Dr Mahathir.

Dr Dzulkefly berkata beliau akan mengalu-alukan jika Encik Khairy mahu menyertai Pakatan Rakyat, asalkan niat beliau jujur untuk berbakti kepada masyarakat.

No comments:

Posting Terkini