Pages

Wednesday, February 3, 2010

Ku Li patut guna saluran sesuai

KUALA LUMPUR, Feb 2 — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang menggunakan platform pembangkang untuk menyatakan pendirian berkenaan isu royalti minyak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Beliau berkata Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sepatutnya menggunakan medium lain yang lebih sesuai seperti forum untuk menyatakan sesuatu pandangan.

“Saya rasa ini tidak boleh diterima, saya sendiri akan menggunakan saluran seperti forum untuk menyuarakan pandangan saya.

“(Malahan) beliau boleh bercakap dengan Perdana Menteri jika Perdana Menteri mahu berjumpa beliau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Asean: Present and Future Challenges” pada Persidangan Asean Logics 2010 di Universiti Islam Antarabangsa Malayaia (UIAM) di Gombak di sini hari ini.

Dr Mahathir (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian terbaru anggota Parlimen Gua Musang itu bahawa Kelantan berhak mendapat royalti minyak yang berbeza dengan pendiriannya sebelum ini.

Kenyataan itu dibuat Tengku Razaleigh semasa berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan minggu lepas yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dr Mahathir berkata beliau fikir Tengku Razaleigh sebagai orang Kelantan tentu mahu melihat Kelantan mendapat wang royalti minyak itu. Ketika ditanya sama ada tindakan Tengku Razaleigh itu boleh memberi kesan kepada pengundi di Kelantan, Dr Mahathir berkata : “Mungkin boleh beri kesan, macamana pun kita (Barisan Nasional) tidak boleh dapat (Kelantan) kerana orang Kelantan ada dia punya idea sendiri.” — Bernama


No comments:

Posting Terkini