Pages

Saturday, December 19, 2009

Pakatan ikrar tubuh suruhanjaya diraja selesai isu agama

Pemimpin DAP, Lim Guan Eng (kiri), bersalam dengan pemimpin PAS, Datuk Seri Hadi Awang (kanan), sambil diperhatikan oleh pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam hari ini. - Gambar oleh Jack Ooi

SHAH ALAM, Dis 19 — Pakatan Rakyat berikrar untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk mengkaji semua isu berkaitan dengan kes-kes pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah jika ia memerintah kerajaan persekutuan.

Ia antara perkara disepakati oleh PAS-DAP-PKR yang sebelum ini dilihat bercanggah pendirian dalam isu-isu berkaitan dengan agama khususnya soal perkahwinan dan penceraian membabitkan mereka bukan Islam menganuti Islam.

PAS berjuang berlandaskan penubuhan negara Islam, yang sebelum ini tidak dipersetujui oleh DAP manakala PKR dilihat berada di tengah-tengah.

“Pakatan Rakyat berikrar menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah termasuk sebuah suruhanjaya diraja untuk mengkaji semua isu berkaitan dengan mendalam,” kata Dasar Pakatan Rakyat yang dibentangkan hari ini.

Pakatan Rakyat juga berikrar akan menganjurkan dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.

Turut diikrar ialah memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.

“Pakatan Rakyat berikrar mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama setiap rakyat Malaysia,” demikian bunyi dasar yang dibentangkan pagi tadi.

Ia dibahaskan pada Konvensyen Pakatan Rakyat sulung yang dihadiri 1,500 perwakilan dari PAS-DAP-PKR.

Dasar itu menambah agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat.

“Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan agama.

“Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti sistem demokrasi di mana agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai agama persekutuan sementara hak agama-agama lain dijamin,” kata dasar itu.

No comments:

Posting Terkini