Pages

Thursday, September 10, 2009

Pakar gigi Melayu kendali kursus di kongres sedunia

SATU PENGHORMATAN: Dr Rashid Tahir satu-satunya doktor Melayu Singapura yang diundang mengendalikan kursus semasa Kongres Gigi Sedunia Tahunan FDI 2009, yang dihadiri doktor gigi dari serata dunia. -- Foto TAUFIK A. KADER

KEPAKARAN Dr Rashid Tahir dalam mengendalikan pesakit gigi cilik mendapat perhatian dalam satu kongres pergigian antarabangsa baru-baru ini.

Dr Rashid bahkan satu-satunya doktor gigi Melayu Singapura yang terpilih mengendalikan kursus pergigian kanak-kanak semasa Kongres Gigi Sedunia Tahunan FDI 2009 yang berakhir Sabtu lalu.

Pakar bidang pergigian pediatrik itu berkongsi pengalamannya dengan doktor gigi dari pelbagai negara tentang cara-cara memupuk sikap positif dalam diri kanak-kanak terhadap bidang pergigian.

Menurut Dr Rashid, pemilik klinik The Kids Dentist di Pusat Perubatan Camden, terdapat trend membimbangkan semakin ramai kanakkanak di seluruh dunia menggunakan bius semasa mendapatkan rawatan gigi begitu juga yang terpaksa dihantar ke bilik bedah untuk mendapatkan rawatan.

'Jika kanak-kanak ada imej positif tentang doktor gigi dan pengalaman positif di klinik gigi, mereka boleh dipujuk dan lebih mudah bagi doktor gigi menjalankan rawatan di klinik tanpa perlu menggunakan bilik bedah atau membius mereka,' ujar Dr Rashid, ayah dua anak perempuan.

Ada risiko kesihatan yang lebih tinggi apabila kanak-kanak dibius atau menggunakan bilik bedah bagi mendapatkan rawatan gigi, selain ia melibatkan kos tinggi, tambah beliau, yang juga presiden Persatuan Pergigian Pediatrik Singapura.

Memupuk imej positif tentang lawatan ke klinik gigi menjadi lebih penting terutama di negara yang khidmat pakar gigi sukar didapatkan atau pesakit perlu menunggu lama sebelum boleh mendapatkan rawatan daripada pakar gigi.

Dalam kursus itu Dr Rashid menerangkan peri penting peranan pasukan pergigian dan teknik tingkah laku berkesan dalam mengendali kanak-kanak di klinik gigi.

Kursus itu sebahagian daripada kursus tambahan kepada program saintifik utama yang diadakan semasa kongres tersebut, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec dari 2 hingga 5 September lalu.

Walaupun itu bukan kali pertama beliau menyampaikan ceramah, Dr Rashid berasa diundang berkongsi pengalaman dengan peserta kongres dari serata dunia adalah satu penghormatan.

'Peserta kongres datang daripada latar belakang kedoktoran berbeza. Malah, sesetengah mereka mempunyai pengalaman cukup luas. Adalah satu penghormatan untuk saya berkongsi ilmu dengan mereka,' ujar beliau.

Dr Rashid pernah membentangkan kajiannya di beberapa persidangan di Asia Tenggara, Australia dan Britain.

No comments:

Posting Terkini