JOHOR BAHARU - Kajian mengenai kadar tol yang dimulakan pada pertengahan tahun lalu dijangka siap akhir tahun ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.
Katanya antara cadangan yang diterima oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) ialah untuk kerajaan mengambil alih lebuh raya bertol daripada syarikat konsesi.
Cadangan itu dan yang lain akan dibawa ke Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diperbincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan fasa 1 Lebuhraya Senai-Pasir Gudang-Desaru di sini hari ini.
Mengenai lebuh raya itu, Shaziman berkata ia akan dibuka kepada pengguna jalan raya mulai esok dan tidak ada tol dikenakan untuk selama sebulan.
Fasa 1 projek itu melibatkan jalan dari persimpangan Lebuhraya Link Kedua di Senai ke Ulu Tiram sepanjang 23.1km dan dari Ulu Tiram ke Persimpangan Bertingkat Cahaya Baru, Masai dan Persimpangan Bertingkat Pasir Gudang sepanjang 26.9km.
Fasa 2 yang melibatkan pembinaan jalan dari Cahaya Baru ke Bandar Penawar dan Desaru sepanjang 27km dijangka siap dalam suku pertama tahun depan.
Lebuh raya yang mula dibina pada Julai 2005 itu menelan belanja RM1.4 bilion.
Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman yang turut hadir menyatakan rasa gembiranya terhadap pembukaan lebuh raya itu.
Selain mengurangkan masa perjalanan Senai-Desaru dari dua jam kepada 45 minit dan mengurangkan kesesakan di lebuh raya Pasir Gudang, lebuhraya itu dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi di bahagian timur Johor. - Bernama
Thursday, September 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment