Pages

Thursday, September 10, 2009

P. Pinang mahu pikat pengunjung S'pura

MENARIK PELABUR SINGAPURA: Pengarah Urusan Eastern & Oriental Berhad (E&O), Datuk Terry Tham (dua dari kiri), sedang memberi taklimat kepada Encik Lim mengenai pelaburan hartanah syarikatnya di Pulau Pinang. -- Foto KHALID BABA

PASARAN Singapura penting bagi Pulau Pinang kerana ikatan sejarah, kebudayaan dan hubungan rakyatnya.

Masanya kini dirasakan terbaik bagi rakyat Singapura bukan saja melancong ke sana, malah membuat pelaburan di negeri itu sebelum nilai kehidupan di sana meningkat 'menyamai nilai dolar Singapura'.

Demikian undangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng, semasa merasmikan Pameran Pulau Pinang di York Hotel semalam.

Encik Lim berkata, kerajaannya akan membuat perubahan-perubahan yang perlu supaya rakyat Singapura dapat menikmati kunjungan ke Pulau Pinang pada kos lebih rendah berbanding Singapura.

Pameran tiga hari yang berlangsung hingga esok itu mengetengahkan kecantikan dan daya tarikan Pulau Pinang kepada penduduk Singapura, seperti dari segi makanan, budaya dan sejarah, serta peluang perniagaan dan pelaburan.

Antara yang terlibat termasuk syarikat hartanah E&O serta Hab Halal Antarabangsa Pulau Pinang.

'Lebih mudah meyakinkan rakyat Singapura melabur di Pulau Pinang, selagi kami dapat memberi jaminan mereka akan mencapai kemajuan dan kemakmuran di samping selesa dan selamat di Pulau Pinang,' kata Encik Lim kepada Berita Harian.

Ikatan sejarah dan kebudayaan kedua-dua pihak terjalin sejak 142 tahun lalu ketika kedua-duanya berada di bawah negeri-negeri Selat.

Meski keadaan kini berbeza, beliau yakin nilai-nilai tradisi dan budaya masih dikongsi kedua-dua pihak.

Sektor pelancongan merupakan antara cara memperkenalkan kembali dan mengalami semula persamaan-persamaan tersebut kerana daripada 11 juta pelancong yang datang ke Malaysia tahun lalu, separuh adalah dari Singapura, kata Encik Lim.

'Pulau Pinang kurang menarik pelancong Singapura kerana kurangnya kemudahan laluan jalan dan jauhnya perjalanan melalui darat,' katanya.

Mujur situasi itu berubah sejak Jun lalu apabila beberapa penerbangan langsung Singapura-Penang oleh syarikat-syarikat penerbangan seperti Silkair, SIA, MAS, AirAsia, Jetstar dan Tiger Airways merancakkan sektor pelancongannya.

Dengan 63 penerbangan seminggu, jumlah pelancong dari Singapura melalui udara diramal meningkat kepada 250,000 orang menjelang akhir tahun ini - 4.4 kali ganda lebih ramai daripada jumlah 56,479 pelancong tahun lalu.

Menjelang Mac depan pula, penerbangan langsung itu akan ditambah kepada 84 penerbangan seminggu.

Tahun Melawat Pulau Pinang 2010-2012 pula disasarkan menarik 10 juta pelawat.

'Kami sedang meningkatkan infrastruktur, membina jambatan kedua dan meningkatkan lapangan terbang dan sebagainya. Inilah masa terbaik bagi rakyat Singapura melawat dan melabur di Pulau Pinang,' kata Encik Lim.

No comments:

Posting Terkini