Pages

Thursday, July 23, 2009

Wajah dua pengebom didedah

GAMBARAN PENGEBOM NEKAD: Jurucakap polis Indonesia, Encik Nanan Soekarna, menunjukkan lakaran lukisan dua suspek pengebom nekad yang menyerang hotel-hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton pada Jumaat lalu, dalam satu sidang akhbar di Jakarta semalam. -- Foto AFP

JAKARTA: Polis Indonesia semalam buat kali pertama menunjukkan imej digital wajah dua suspek pengebom nekad lelaki yang dipercayai bertanggungjawab di atas serangan bom di dua hotel mewah di Jakarta minggu lalu, yang menyebabkan sembilan orang terbunuh dan lebih 50 yang lain cedera.

Polis berkata suspek pengebom nekad di Hotel JW Marriott itu dianggarkan baru berusia antara 16 dengan 17 tahun, manakala seorang lagi yang menjalankan serangan bom ke atas Hotel Ritz-Carlton berusia antara 20 dengan 40 tahun.

Pada masa yang sama, polis turut menahan salah seorang isteri anggota kumpulan militan yang giat diburu pihak berkuasa di Asia Tenggara untuk disoal siasat, kata laporan stesen televisyen setempat.

Polis pencegah pengganasan semalam menahan Ariana Rahma, isteri Noordin Mohammad Top, suspek pengganas warga Malaysia yang sedang giat diburu, kata stesen televisyen TVOne dan MetroTV, tanpa memetik sumber-sumber.

Polis juga merancang membawanya ke Jakarta, ke tempat di mana dua pengebom nekad yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Noordin menjalankan serangan bom mereka. Ia serangan pengganas pertama dilakukan di Indonesia sejak empat tahun lalu.

Tiada suspek telah dinamakan secara rasmi, tetapi pakar-pakar pengganasan dan para penyiasat menuding jari ke arah Jemaah Islamiyah (JI) dan kumpulan serpihannya, yang dipercayai pernah menjalankan beberapa serangan pengganas, dengan sokongan Al-Qaeda, di Indonesia, antara 2002 dan 2005.

Bagaimanapun, polis semalam menunjukkan kepada para saksi imej dua suspek serangan bom dua hotel mewah Jakarta itu, yang dibentuk berdasarkan pada dua kepala suspek yang ditemui di lokasi serangan pada Jumaat lalu itu.

'Kami menemui dua kepala yang terputus (daripada badannya) di lokasi kejadian, dan kami boleh mengesahkan bahawa mereka adalah pengebom nekad seperti yang disyaki,' kata jurucakap polis, Encik Nanan Soekarna, di sidang akhbar semalam.

Dua lelaki itu mempunyai rambut pendek dan kelihatan seperti orang Asia daripada penampilannya.

Pengebom di Hotel JW Marriott disifatkan sebagai berusia 16 hingga 17 tahun, berkulit cerah dan setinggi 180 hingga 190 sentimeter.

Pengebom Ritz-Carlton pula disifatkan sebagai berusia 20 hingga 40 tahun, berkulit sawo matang dan setinggi 165 sentimeter.

Bagaimanapun, di tengah-tengah usaha giat polis untuk mengenal pasti para pengebom itu, Encik Nanan berkata ujian DNA ke atas anggota keluarga dua lelaki, Ibrahim dan Nur Hasbi, yang sebelum ini disyaki menjalankan serangan bom itu, semuanya menunjukkan hasil negatif.

Menurutnya, lukisan wajah dua suspek pengebom itu tidak sepadan dengan wajah Ibrahim dan Nur Hasbi, atau dikenali juga sebagai Nur Said, yang dilaporkan sebagai sekutu Noordin.

Namun, polis masih belum menolak kemungkinan adanya pelibatan Ibrahim dan Nur Hasbi, tegas beliau.

'Kedua-dua mayat di lokasi bukan milik Nur Hasbi dan bukannya Ibrahim. (Tetapi) saya tidak mengatakan mereka tidak disyaki. Sesiapa sahaja masih boleh disiasat,' katanya. -- AFP, AP.

No comments:

Posting Terkini