Pages

Thursday, July 23, 2009

Saman bekas isteri RM50,000

Pemain badminton Malaysia, Roslin Hashim, 34 tahun, merancang mengemukakan saman RM50,000 ($20,337) terhadap bekas isteri yang dikahwininya 12 hari sebagai tuntutan ganti rugi terhadap belanja dan kos perkahwinan yang dikeluarkan sebelum ini.

Beliau berkata tindakan itu diambil kerana mahu menuntut kembali haknya sepanjang melayari perkahwinan singkat itu.

Menurutnya, saman tersebut akan difailkan sejurus beliau memperolehi surat pembatalan pernikahan yang belum lagi dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya di sini.

'Saya tidak berdendam dan marah dengan kemelut yang pernah menjadi isu besar sehingga membawa kepada perceraian, sebaliknya hanya mahukan hak saya dikembalikan. Yang lepas biarlah lepas, namun saya tetap dengan pendirian itu tanpa dipaksa sesiapa,' kata beliau yang enggan mengulas secara panjang lebar.

Roslin berkata surat pembatalan pernikahan sepatutnya boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu, namun beliau pelik mengapa ia belum dikeluarkan walaupun perceraian mereka disahkan mahkamah pada awal Mei lalu.

'Akibat kelewatan surat pembatalan pernikahan itu, saya terpaksa menangguhkan proses memfail saman terhadap bekas isteri saya itu,' katanya.

Ditanya sama ada keinginannya mendapatkan segera surat itu ada kaitan dengan hasrat untuk berkahwin kali kedua, Roslin enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada takdir Ilahi.

'Masih terlalu awal untuk membincangkan soal itu (perkahwinan kali kedua) kerana saya mempunyai banyak perkara mustahak lain yang perlu diuruskan saat ini,' katanya.

Kisah Roslin dan bekas isterinya, Cik Faizah Mohamad, 32 tahun, pernah menjadi isu hangat apabila pemain badminton negara itu dikatakan tiba-tiba melafazkan cerai talak satu hanya selepas 12 hari mendirikan rumah tangga.

Cik Faizah mendakwa Roslin mengambil keputusan terburu-buru menceraikannya sedangkan kemelut melanda rumah tangga mereka sepatutnya boleh diselesaikan melalui perbincangan. -- Harian Metro.


No comments:

Posting Terkini