Pages

Monday, July 20, 2009

Sah! Serangan angkara JI

MANGSA BOM: Para pembantu mengusung keranda Encik Tim Mackay, ketua eksekutif syarikat simen Holcim dari New Zealand, semalam, untuk dibawa ke negara beliau. -- Foto REUTERS

JAKARTA: Polis Indonesia semalam mengesahkan bahawa rangkaian kumpulan pengganas, Jemaah Islamiyah (JI), bertanggungjawab atas dua serangan bom nekad di Hotel J.W. Marriott dan Hotel Ritz-Carlton, di Jakarta, minggu lalu.

Kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda itu pernah menjalankan puluhan serangan bom di Indonesia sepanjang satu dekad lalu, termasuk pengeboman di Bali pada 2002, yang mengorbankan 202 jiwa, kebanyakannya warga asing.

Polis berkata sebutir bom yang masih belum meletup yang ditinggalkan dalam bilik Hotel J.W. Marriott, menyerupai alat letupan yang digunakan di Bali dan bom-bom yang ditemui baru-baru ini dalam satu serbuan antipengganasan di sebuah madrasah di Jawa Tengah.

'Mereka daripada rangkaian yang sama. Kami menemui bahan-bahan yang sama, peralatan yang sama, cara-cara yang sama. Itu kerja mereka, itu rangkaian yang sama, mereka adalah dari JI,' kata jurucakap polis Indonesia, Encik Nanan Soekarna, pada satu sidang akhbar semalam.

Beliau berkata para penyiasat sedang menyusun semula wajah remuk salah seorang daripada dua pengebom nekad yang melakukan serangan pada waktu sarapan, yang dikunjungi ramai ahli perniagaan dan diplomat, di kedua-dua hotel mewah di Jakarta itu pada Jumaat lalu.

'Kami, sekarang, sedang menyusun semula wajah yang kami temui untuk melihat sama ada ia sama dengan tamu di bilik 1808,' kata Encik Soekarna, sambil menambah bahawa imejnya akan ditunjukkan kepada para saksi kejadian tersebut, termasuk para penyambut tamu dua hotel berkenaan.

Polis berkata sembilan orang terbunuh dan 53 cedera dalam serangan bom kembar itu.

Menteri Luar Indonesia, Encik Hassan Wirayuda, pula kelmarin berkata lapan orang mati, termasuk tiga warga Australia, seorang warga New Zealand, dan dua pengebom nekad yang bertanggungjawanb atas serangan bom itu.

Polis berkata para pengebom nekad itu telah menyewa bilik Hotel J.W. Marriott, sebagai tetamu yang membayar, pada Rabu lalu, dan telah memasang bom-bom mereka di bilik tersebut.

Bom ketiga ditemui dalam sebuah beg komputer riba dalam bilik 1808.

Terdapat spekulasi mengenai identiti dua pengebom nekad itu. Beberapa laporan media setempat, malah, telah menyiarkan nama salah seorang daripada dua pengebom nekad tersebut.

'Kami tidak tahu nama-nama para pengebom itu,' kata seorang lagi jurucakap polis, Encik Solistyo Ishak.

Bagaimanapun, timbul nama 'Nur Hasbi atau Nurdin Azin' dalam beberapa laporan media setempat.

Nur Hasbi dilaporkan seorang lulusan madrasah Ngruki tetapi naib dekan madrasah itu, Encik Muhammad Sholeh Ibrahim, menafikan bahawa Nur Hasbi pernah lulus dari madarasah tersebut, lapor versi dalam talian akhbar The Jakarta Globe.

'Kami tidak pernah menerima dia sebagai pelajar,' kata beliau seperti yang dipetik dalam laman berita Tempointeraktif.com.

Pengarah International Crisis Group, Cik Sydney Jones, pula berkata Nur Hasbi adalah rakan Asmar Latin Sani, seorang pengebom nekad dalam kejadian pengeboman pertama Hotel J.W. Marriot pada 2003.

Ada juga spekulasi yang mengatakan salah seorang daripada pengebom nekad itu adalah seorang wanita.

Bagaimanapun, Encik Soekarna berkata hasil pemeriksaan awal penyusunan semula wajah pengebom menunjukkan 'kedua-dua pengebom itu lelaki'.

'Salah satu daripadanya sudah dikenalpasti. Saya tidak boleh beritahu anda nama penuhnya tetapi dia bermula dengan huruf 'N'. Dan, satu lagi mayat masih dalam proses mengenalpasti,' katanya. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini