Pages

Wednesday, April 15, 2009

Selangor Sambut Baik Usaha Adakan Rundingan Isu Air

SHAH ALAM, 14 April - Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini menyambut baik laporan tentang kesediaan kerajaan Persekutuan membenarkan kerajaan negeri mengadakan rundingan penyusunan semula perkhidmatan air sebelum mengambil alih industri air negeri.

Katanya, berita terbaharu daripada kerajaan persekutuan itu sejajar dengan kehendak Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA) 2006, yang antara lain menyatakan perlunya menyusun semula dan meningkatkan kecekapan industri air di Malaysia.

“Kita harap rundingan ini nanti dapat mencapai keputusan yang memihak kepada kepentingan orang awam. Ini kerana kerajaan negeri begitu mengambil berat untuk meningkatkan kecekapan pengendalian industri air, berusaha menurunkan tarif dan mengekalkan pemberian air percuma bagi 20 meter padu yang pertama setiap bulan kepada isi rumah di Selangor,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, petang tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri juga memang bersedia untuk menyambung semula perbincangan tetapi menekankan supaya tiga pihak iaitu kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan syarikat-syarikat konsesi mempunyai wakil masing-masing dalam proses perbincangan yang dirancangkan nanti.

Katanya bagi mencapai tujuan itu, kerajaan negeri bercadang menemui mantan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Dr. Lim Kheng Yaik yang arif tentang WSIA 2006 dan industri air negara bagi mengetuai rundingan bagi pihak kerajaan Persekutuan.

“Kita yakin bahawa wakil-wakil kerajaan negeri dan syarikat-syarikat konsesi boleh mengadakan rundingan yang mesra bersama-sama Dr. Lim,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan berlainan Abdul Khalid yang mewakili seluruh kakitangan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri Selangor, turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Sitherai kepada masyarakat India yang merayakan tahun baharu itu hari ini.

“Semoga sepanjang tahun baharu ini, rakyat negeri Selangor amnya dan rakyat berketurunan India khasnya bertambah makmur dan hidup dalam keadaan aman dan damai.

“Untuk itu, kerajaan negeri sedang berusaha keras menjalankan pelbagai program dalam agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor” supaya hasil kekayaan negeri dapat dinikmati oleh semua kaum secara adil,” katanya yang berharap semua rakyat menyokong agenda pakej rangsangan ekonomi yang dijangka akan mampu ribuan peluang pekerjaan serta meningkatkan pelaburan dalam negeri Selangor.

No comments:

Posting Terkini