Pages

Friday, April 24, 2009

CHINA TUNJUK KEKUATAN

BEIJING: China semalam mempamerkan kapal perang dan kapal selam nuklearnya dalam satu pameran maritim yang turut disertai 14 negara lain sempena ulang tahun ke-60 tentera lautnya.

Menurut agensi berita Xinhua, 56 kapal yang dipamerkan China dekat pelabuhan Qingdao di Laut China Timur, termasuk dua kapal selam berkuasa diesel-elektrik, dua kapal selam berkuasa nuklear, lima kapal pemusnah peluru berpandu, enam frigat dan sebuah kapal pendarat yang besar.

Pesawat yang dipamerkan termasuk pesawat pengintip elektronik dan pesawat amaran awal, selain helikopter penangkis kapal selam.

Pameran empat hari itu yang diberi julukan 'Olimpik Tentera Laut' merupakan pameran keempat sejak 1949 dan pertama berskala antarabangsa. Ia menampilkan buat pertama kali dua kapal selam China yang berkuasa nuklear.

Presiden China, Encik Hu Jintao, merasmikan pameran itu di atas kapal pemusnah Shijiazhuang selepas memberi jaminan kepada perwakilan tentera laut asing bahawa kuasa maritim China bukan merupakan ancaman kepada sesiapa pun.

'Baik sekarang mahupun akan datang tidak kira sejauh mana kami mencapai kemajuan China tidak akan memaksakan ketuanan,' ujarnya seperti ditukil Xinhua semalam.

Dalam perasmian itu Encik Hu diiringi panglima tentera laut China, Laksamana Wu Shengli, Menteri Pertahanan, Encik Liang Guanglie, dan pemimpin kanan tentera lain.

'Meluaskan pertukaran (lawatan) antara tentera laut semua negara dan meningkatkan kerjasama keselamatan maritim antarabangsa akan memberi sumbangan kepada wujudnya laut dan lautan yang aman,' tegas Encik Hu.

Pameran itu disifatkan media China sebagai isyarat hasrat China membangun tentera lautnya menjadi angkatan yang dapat beroperasi jauh dari pelabuhan sendiri bagi melindungi perdagangannya.

Rancangan itu dipercayai akan menyaksikan kemunculan beberapa kapal induk dalam masa beberapa tahun mendatang.

Ia sekali gus akan membuat China lebih berani menguatkuasakan tuntutan wilayah di Laut China Selatan dan tempat lain.

Negara lain yang menyertai pameran tentera laut di China itu termasuk Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Perancis, India, Korea Selatan, Pakistan dan Russia.

Amerika Syarikat diwakili Laksamana Gary Roughead yang menaiki kapal pemusnah USS Fitzgerald.

Jepun menghantar naib panglima tentera lautnya, Naib Laksamana Koji Kato, sebagai wakil tetapi tidak menghantar kapal perang. -- AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini