Pages

Saturday, April 25, 2009

AS DIJANGKA DEDAH FOTO TAHANAN DIDERA ASKAR

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Barack Obama akan mengeluarkan gambar-gambar yang menunjukkan dakwaan penderaan yang dilakukan kakitangan Amerika Syarikat di penjara-penjara di Iraq dan Afghanistan di bawah pentadbiran mantan Presiden George W. Bush, kata satu kumpulan hak asasi semalam.

Jabatan Pertahanan Amerika bersetuju mengeluarkan buat kali pertama 44 keping gambar menjelang 28 Mei ini sebagai jawapan kepada satu saman di bawah Akta Kebebasan Maklumat yang difailkan Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) pada 2004.

Ada juga sejumlah gambar lain yang sedang diproses untuk dikeluarkan, kata Jabatan Pengadilan Amerika dalam suratnya kepada sebuah mahkamah federal Amerika.

Peguam ACLU, Encik Amrit Singh, berkata: '... gambar-gambar ini menyediakan bukti visual bahawa penderaan tahanan oleh kakitangan Amerika bukan satu penyimpangan tetapi berleluasa, menjangkau lebih jauh daripada dinding-dinding Abu Ghraib.'

Penjara Iraq itu menjadi terkenal selepas gambargambar menunjukkan tahanan Iraq diaibkan dan didera para pengawal Amerika dikeluarkan pada 2004.

Pendedahan terbaru 'adalah kritikal bagi membantu orang awam memahami skop dan skala penderaan tahanan serta meletakkan tanggungjawab ke atas pegawai kanan yang memberi kuasa dan membenarkan penderaan tersebut', tambah Encik Singh.

Pentadbiran Encik Bush enggan mengeluarkan gambar-gambar itu kepada orang awam atas alasan pendedahannya akan menyemarakkan kemarahan dan melanggar kewajipan Amerika terhadap para tahanan di bawah Konvensyen Geneva.

Pentadbiran Obama pula mengeluarkan empat memo sensitif minggu lalu yang mendedahkan kaedah soal siasat kasar yang diluluskan pemerintah Amerika yang lalu, termasuk penggunaan serangga, kaedah simulasi mati lemas dan tidak membenarkan tahanan tidur.

Namun, Encik Obama berkata para pegawai Agensi Risik Pusat (CIA) yang terlibat tidak seharusnya didakwa kerana mereka menerima arahan sah daripada pegawai atasannya.

Beliau menghadapi kritikan daripada kedua-dua pihak berhubung isu tersebut - dengan kumpulan-kumpulan hak asasi mendesak diadakan pendakwaan ke atas para pegawai pentadbiran mantan Presiden Bush, manakala para konservatif pula mendakwa langkah Encik Obama itu membahayakan keselamatan negara. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini