Pages

Wednesday, March 18, 2009

Polis keluar surat perintah kepada Helmi

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengeluarkan surat perintah bagi memanggil teman lelaki Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, supaya tampil membantu siasatan berhubung penyebaran gambar separuh bogel beliau di internet.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata surat perintah 111 Kanun Prosedur Jenayah itu diserahkan melalui bapa teman lelaki Elizabeth yang dikenali sebagai Helmi.

"Minggu lalu polis sudah mengambil keterangan bapa Helmi di Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur untuk membantu siasatan dan kita juga sudah menyerahkan surat perintah itu melalui bapanya.

"Kita mahu Helmi tampil untuk memberi keterangan kepada polis bagi membantu menyelesaikan kes ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Pengurusan Krisis dan Bencana Polis Bantuan IPK Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Polis sebelum ini mengesahkan Hilmi, 32, adalah satu-satunya saksi yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kes gambar separuh bogel Elizabeth yang tersebar luas di internet awal bulan lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Sabtu enggan mengulas mengenai tempoh yang diberikan polis kepada Helmi untuk tampil memberikan keterangan.

"Tempoh yang diberikan itu bergantung kepada polis, saya tidak boleh memberitahu maklumat penuh kes ini kerana ia akan menganggu siasatan.

"Polis juga percaya Helmi masih berada di Indonesia," katanya.

Ditanya mengapa polis tidak bertindak mengeluarkan waran tangkap terhadap Helmi atau menggunakan khidmat Interpol mengesan lelaki itu, beliau menjelaskan,polis tidak boleh sesuka hati berbuat demikian kerana lelaki itu hanya diperlukan untuk membantu siasatan.

"Helmi bukan 'dikehendaki', kita hanya mahu minta beliau memberi keterangan," katanya.

Sehingga kini, hampir 20 orang termasuk wartawan sudah dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini