Pages

Saturday, March 21, 2009

PM ABDULLAH DIJANGKA SERAH KUASA 2 APRIL

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dijangka menyerahkan kuasa pada 2 April ini - lima hari selepas Perhimpunan Agung Umno.

Difahamkan, Datuk Seri Abdullah akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada kabinet dalam mesyuarat mingguannya yang dijadualkan semalam dan beliau akan menemui Yang di-Pertuan Agong pada 3 April.

Bakal presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, pula dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 4 April ini.

Perhimpunan Agung Umno yang turut menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung mulai Selasa depan sehingga 28 Mac ini.

Datuk Seri Najib merupakan calon tunggal bagi jawatan presiden dan secara rasmi akan memimpin Umno selepas mendapat mandat rasmi dalam pemilihan parti.

Penyerahan kuasa itu akan berlaku sebelum berlangsungnya tiga pilihan raya kecil yang dianggap sangat penting iaitu Parlimen Bukit Gantang di Perak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah, dan DUN Batang Air di Sarawak - kesemuanya pada 7 April ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Abdullah pernah menyatakan beliau akan menyerahkan tugas-tugas Perdana Menteri kepada penggantinya beberapa hari selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga pernah berjanji tidak akan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Najib.

'Saya tidak akan jadi macam itu,' tegas Datuk Seri Abdullah ketika ditanya kemungkinan beliau akan memantau kerajaan selepas bersara nanti.

Ketika ditanya mengenai perkara yang mengecewakannya sepanjang menerajui kerajaan dan Umno, Datuk Seri Abdullah berkata jika ada pun rasa kecewa terhadap ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) ia adalah sikap mereka.

Menurut beliau, mereka terlalu diselubungi dengan persepsi negatif dalam usaha beliau melakukan perubahan sepanjang tempoh berkenaan.

'Mereka hanya melihat sesuatu pembaharuan itu daripada sudut negatif sahaja tanpa mahu memahami apa yang tersirat di sebalik hasrat,' kata beliau merujuk kepada pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman di Parlimen ketika ini. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini