Pages

Saturday, March 21, 2009

Rosmah kekal Canselor Unisel

SHAH ALAM: Universiti Industri Selangor (Unisel) tidak bercadang menggantikan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai Canselor universiti berkenaan.

Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono, berkata pelantikan Rosmah dibuat atas perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali gus tiada pihak lain boleh mempertikaikannya.

Menurutnya, kedudukan Rosmah sebagai Canselor di universiti swasta milik kerajaan Selangor itu dibuat secara sukarela dan beliau juga tidak mengganggu atau menjejaskan dasar universiti.

“Tindakan menukar Canselor tidak relevan kerana beliau memegang jawatan secara sukarela dan mendapat perkenan Sultan Selangor.

“Selain itu saya ingin mengingatkan kakitangan terutama pensyarah supaya mengutamakan tugas hakiki mereka sebagai pensyarah dan tidak berpolitik,” katanya pada majlis ramah mesra bersama media di Kampus Unisel di sini, semalam.

Rosti, 59, dilantik Naib Canselor yang baru berkuatkuasa 1 Mac lalu bagi menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang ditamatkan kontrak sejak Julai tahun lalu.

Bekas Rektor/ Ketua Pegawai Eksekutif pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang memegang jawatan terakhir sebagai Naib Presiden Pendidikan Petronas dilantik ke jawatan itu secara kontrak selama tiga tahun.

No comments:

Posting Terkini