Pages

Thursday, March 19, 2009

MAS peroleh janji niaga sewa khas bawa pelatih PLKN

SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) memperoleh janji niaga sewa khas bernilai RM18.7 juta dengan Kementerian Pertahanan untuk membawa kira-kira 36,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Majid, berkata syarikat pengangkut nasional itu sudah menubuhkan satu unit khas untuk menguruskan pengangkutan pelatih PLKN tu bagi memastikan semua aspek proses berjalan lancar.

Ia termasuk tempahan tempat duduk, daftar masuk, makanan dan keperluan lain.

"Ini hari yang bersejarah bagi Penerbangan Malaysia kerana kami memulakan pengangkutan udara bagi asas sewa khas kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). Kami gembira dapat bekerjasama dalam perkongsian langsung dengan mereka bagi memastikan perjalanan yang lancar untuk pelatih khidmat negara," katanya pada majlis permeterian kontrak dan penghantaran lebih 350 pelatih dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah, di sini, hari ini.

Menerusi kontrak itu, MAS akan menyediakan sokongan operasi kepada JLKN termasuk pusat panggilan khas bagi komunikasi secara terus dengan JLKN, tempahan tempat duduk lebih awal, kaunter daftar masuk khusus, perkhidmatan runcit bagi keperluan tertentu, pengurusan cekap untuk mengelakkan pembaziran dan menyediakan pegawai pengiring jika diperlukan.

Terdapat tiga sesi pengangkutan setahun antara bulan Disember-Mac, Mac-Jun dan Jun-September.

Sejajar dengan peruntukan nilai pelanggan MAS 'MH=Malaysian Hospitality', pelatih juga akan menikmati perkhidmatan dalam penerbangan premium seperti makanan pelengkap, kerusi yang selesa dan masa berlepas yang tepat pada masa.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah, berkata sebelum ini JLKN menggunakan perkhidmatan syarikat swasta bagi mengendalikan pengangkutan udara pelatih PLKN.

Beliau berkata, pengendalian pergerakan udara melalui pihak ketiga itu agak sukar kerana terpaksa bergantung dan terikat kepada syarat yang sudah ditetapkan pihak swasta dengan syarikat penerbangan.

"Melalui kontrak dengan MAS, JLKN boleh menetapkan masa penerbangan dengan persetujuan MAS dan ini memudahkan urusan pergerakan penerbangan pelatih PLKN," katanya.

Ditanya mengenai seorang pelajar perempuan yang bakal menjalani PLKN, maut dalam satu kemalangan di Perlis Selasa lalu layak menerima insurans kemalangan, Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata setiap pelatih PLKN layak menerima insurans kemalangan bermula tiga hari sebelum mendaftar dan sehingga selepas 10 hari tamat latihan.

"Sekiranya didapati kemalangan itu berlaku dalam tempoh yang ditetapkan, bakal pelatih berkenaan layak menerima pampasan RM128,000 di bawah insuran kemalangan," katanya. - Bernama

No comments:

Posting Terkini