Pages

Friday, December 26, 2008

Ringkasan Politik Malaysiakini

Razak Baginda: Permohonan desak pendakwa merayu

Peguam Karpal Singh, bagi pihak keluarga Altantuya Shaariibuu, hari ini memfailkan satu permohonan di mahkamah tinggi yang mendesak pihak pendakwa membuat rayuan terhadap pembebasan penganalisa politik, Abdul Razak Baginda.

Karpal juga memfailkan satu lagi permohonan bagi lanjutan masa untuk membolehkan pihak pendakwa membuat rayuan tersebut.

Karpal memfailkan permohonan tersebut hari ini ekoran keputusan pihak pendakwa untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yasin membebaskan Abdul Razak pada 31 Oktober lalu atas alasan pihak pendakwa gagal membuktikan kes terhadapnya.

Hasan Ali sedia temui ahli Qadiani

Exco agama kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali sedia bertemu kumpulan Qadiani berhubung isu rampasan tanah yang dijadikan tempat ibadatnya di Kampung Nakhoda, Selayang.

"Mereka boleh jumpa saya bila-bila masa, tiada masalah," katanya, selepas majlis mengumumkan kemasukan bekas ketua Umno bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Zahar Hashim dalam PAS di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Dr Hasan diminta mengulas kesediaan kumpulan Qadiani, juga dikenali gerakan Ahmadiyah, bertemu exco agama itu bagi membincangkan kedudukan bangunan tersebut.

Kelmarin, kerajaan negeri merancang merampas tanah kerana kawasan yang diperuntukkan untuk kediaman dijadikan tempat beribadat.

Pemprotes isu babi bukan orang luar

Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menafikan beberapa ratus peserta program penerangan isu semasanya minggu lalu dihadiri oleh orang luar daerah.

Timbalannya Rahimudin Md Harun berkata dua bas berulang-alik untuk mengangkut sebahagian daripada 800 penduduk kampung-kampung berdekatan.

Sementara sebahagian hadirin lagi datang dengan kenderaan sendiri.

"Kalau tidak dapat sokongan penduduk, program itu tidak berjaya," katanya hari ini, diminta mengulas dakwaan Persatuan Penternak Babi Paya Mengkuang berhubung program tersebut.

Krisis baru MIC, bendahari dipecat

Orang kuat MIC Tan Sri M Mahalingam digugurkan daripada jawatan bendahari agung parti itu berkuat kuasa serta-merta atas arahan presidennya Datuk Seri S Samy Vellu.

Bendahari agung sejak tiga penggal lalu, yang juga orang kepercayaan Samy Vellu, turut diminta meletakkan semua jawatan dalam MIC termasuk dalam syarikat pelaburan parti itu.

Mahalingam, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan beliau menerima surat daripada Samy Vellu petang semalam mengenai keputusan menggugurkan jawatan itu.

Mahalingam juga pengerusi MIED Capital Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan pelaburan pendidikan MIC.

Wakil rakyat PKR dihalang masuk S'wak

Ahli parlimen PKR bagi Padang Serai, N Gobalakrishnan mendakwa beliau dihalang masuk ke Sarawak oleh kerajaan negeri sewaktu tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching petang ini.

Dalam insiden kira-kira jam 5.30 petang tadi, tambahnya, beliau diberikan sekeping notis larangan oleh pihak imigresen.

"Sebaik tiba di lapangan terbang, pegawai imigresen memberitahu saya yang saya tidak dibenarkan masuk atas arahan kerajaan negeri.

"Pegawai imigresen memberi sekeping notis yang tertulis 'Tuan bukan rakyat Sarawak, tidak berhak untuk masuk ke Sarawak tanpa permit atau pas Akta Imigresen 1959-1963'.

"Kini saya masih berada di bilik imigresen lapangan terbang berkenaan menunggu untuk dihantar (ke Kuala Lumpur) pulang jam 7.25 malam ini," katanya kepada Malaysiakini pada 6.30 petang tadi.

Gobalakrishnan berkata, walaupun beliau bertanyakan alasan mengapa tidak dibenarkan masuk, pegawai berkenaan memberitahu ia atas arahan kerajaan negeri.

Beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan tindakannya mempertahankan seorang ahli parlimen DAP bagi Kuching, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat yang mempersoalkan peranan sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak.

Pada 16 Disember lalu, Gobalakrishnan turut serta dalam perbahasan wakil pembangkang itu yang menggesa Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud disiasat apabila Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan.

Chong mendakwa rakyat Sarawak mengetahui perkara tersebut tetapi Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak menyiasat dakwaan terhadap Abdul Taib dan ahli keluarganya.

Sewaktu dihubungi tadi, Gobalakrishnan berkata beliau mahu masuk ke Sarawak untuk menghadiri satu program PKR.






1 comment:

JuandaMY said...

Salam,
Pihak JAIS mestilah menyambut seruan MUZAKARAH oleh pihak Qadiani @ JAMM Jemaat Ahmdiyah Muslim Malaysia. Rujuk SINAR HARIAN 02 January 2009.

Posting Terkini