Pages

Saturday, October 4, 2008

Sistem Timbang Tara Bantu Selesaikan Kes Tertunggak

SEREMBAN, 4 Okt (Bernama) -- Sistem timbang tara yang diwujudkan melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan berjaya mengurangkan jumlah kes tertunggak di Mahkamah Perusahaan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata melalui sistem itu yang diwujudkan tahun ini, sebanyak 4,000 kes tertunggak di Mahkamah Perusahaan ketika ini dijangka dapat dikurangkan kepada 2,000 kes pada akhir tahun ini.

"Sistem timbang tara yang diwujudkan kementerian melalui jabatan terbabit telah berjaya mengurangkan kes yang dirujuk ke Mahkamah Perusahaan...melalui sistem itu bilangan kes yang akan dirujuk pada mahkamah pada tahun hadapan mungkin berada di bawah 2,000 kes (daripada 4,000 kes tertunggak)," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata setiap tahun kira-kira 2,400 kes dibawa di Mahkamah Perusahaan.

Ketika ditanya mengapa terlalu banyak kes tertunggak sedangkan mahkamah seperti itu tidak mempunyai ruang untuk membuat rayuan, beliau berkata:" Ada banyak sebab, kadang-kadang kes disebut tetapi majikan tidak datang dan kadang-kadang pekerja tidak datang."

Faktor lain ialah mereka menggunakan isu akta atau perundangan untuk merujukkan kes ke Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Persekutuan, katanya.

"Kes-kes yang dirujuk di kedua-dua mahkamah ini akan memakan masa yang lama dan akhirnya (biasanya) kes itu dipulangkan semula ke Mahkamah Perusahaan dan ini semua memakan masa," kata Subramaniam.

Mengenai majikan yang kurang berminat mengambil pekerja tempatan berbanding pekerja asing, beliau berkata maklum balas yang diterima daripada pengusaha restoran misalnya ialah pekerja tempatan tidak bertanggungjawab dan suka ponteng.

"Ini akan menyusahkan pengusaha restoran terbabit, sedangkan pekerja asing, mereka tidak boleh lari ke mana-mana," katanya merujuk kepada alasan yang diberikan oleh pengusaha itu.

Beliau berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat menganjurkan program untuk menukar minda orang ramai terhadap komitmen mereka terhadap kerjaya.

No comments:

Posting Terkini