Pages

Thursday, October 23, 2008

Peruntukan Pinjaman Dibawah Program Kewangan Mikro Bandar Dijangka Mencapai RM140 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Pelaksanaan Program Kewangan Mikro Bandar, bagi menangani kemiskinan di bandar, dijangka memberi pinjaman kepada lebih 40,000 peminjam dan membabitkan pembiayaan sebanyak RM140 juta sehingga akhir tahun 2009, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.

Katanya kerajaan berhasrat untuk menangani masalah kemiskinan bandar melalui peruntukan dana modal pusingan sebanyak RM100 juta yang akan dilaksanakan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di seluruh negara.

Sejak dilancarkan, program itu sehingga kini telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM520,000 kepada 182 peminjam, katanya semasa merasmikan program kewangan mikro bandar cawangan Puchong.

"Saya dimaklumkan program ini sedang dipergiatkan diseluruh Lembah Kelang. Untuk ini, AIM sedang mengambil langkah untuk menubuhkan tujuh buah cawangan di Lembah Kelang menjelang akhir tahun ini," kata Nor Mohamed.

Bagi tahun 2009 pula, katanya operasi program AIM itu akan meliputi bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima yang layak menjelang akhir 2009 kelak.

Sehubungan itu, Nor Mohamed berharap golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar, terutamanya di Lembah Kelang, dapat mengambil peluang yang disediakan ini sebaik mungkin untuk memperluaskan peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan masing-masing.

Pada majlis hari ini, seramai 51 penerima telah mendapat pembiayaan pertama melibatkan pinjaman RM149,000.

Semasa ditanya sama ada kerajaan akan menambah modal pusingan tersebut, katanya: "Dana itu adalah dana modal pusingan dan ianya mencukupi untuk tahun ini dan 2009. Jika mempunyai keperluan untuk ditingkatkan, saya rasa tidak ada masalah."

Sementara itu, Pengerusi AIM Datuk Amihamzah Ahmad berkata bayaran balik oleh peminjam bagi pinjaman tersebut dilakukan dengan cemerlang, iaitu pada kadar 98 peratus.

Katanya 17 daripada 70 buah cawangan AIM mencapai kadar bayaran balik 100 peratus.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini