Pages

Thursday, October 23, 2008

Perak Bincang Langkah Waspada Hadapi Banjir Yang Dijangka Bertambah Teruk

IPOH, 23 Okt-- Kerajaan Perak hari ini mengadakan mesyuarat gerakan negeri bagi membincangkan pelbagai langkah berjaga-jaga dalam menangani masalah banjir dan bencana alam, berikutan hujan lebat yang dijangka kerap berlaku dalam tempoh seminggu ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sekiranya hujan lebat yang melanda Perak pada masa sekarang berterusan dalam tempoh seminggu lagi, Perak akan menghadapi keadaan banjir yang teruk.

"Banjir akan bertambah teruk, kerana air di empangan-empangan terpaksa dikeluarkan dan ini akan menyebabkan kawasan di hilir tenggelam. Itu sebabnya kerajaan negeri buat persiapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran PAS Perak di sini hari ini.

Sementara itu keadaan di Bukit Merah, Sitiawan, Bidor dan Teluk Intan yang dinaiki air sejak beberapa hari lalu menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

Pagi tadi, keadaan air di Bukit Merah beransur surut dan 105 orang mangsa banjir dari Kampung Padang Lalang dan Kampung Alor Setangguk yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsan Haji Dahalan dibenarkan pulang.

Tiga lagi pusat pemindahan yang masih menempatkan mangsa banjir ialah Sekolah Kebangsan Bukit Merah (117 orang), Sekolah Kebangsaan Bagan Serai (79) dan Sekolah Kebangsaan Kebangsaan Alor Pongsa (203).

Sabtu lepas, 10 buah kampung di kawasan Bukit Merah dilanda banjir akibat limpahan kolam Empangan Tasek Bukit Merah.

Kampung-kampung itu ialah Kampung Ayer Hitam 2, Kampung Ayer Hitam 3, Batu 37 dan Batu 38 Parit Abu Hasan, Parit Abu Hasan Ban, Kampung Parit Lebai Kadir, Kampung Batu 40, Kampung Alor Setangguk dan Kampung Padang Lalang.

Sementara itu di Sitiawan, Bidor dan Teluk Intan, keadaan banjir masih kekal seperti semalam.

Mohammad Nizar berkata antara yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini ialah langkah berjaga-jaga dan usaha bagi meminimumkan kesan hujan lebat yang berterusan, yang boleh mengakibatkan banjir terutama di kawasan hilir Perak iaitu Bota Kanan dan Kampung Gajah.

"Kerajaan bimbang sebab hulu di Sungai Perak menempatkan Empangan Chenderoh, kalau hujan lebat, air di empangan itu terpaksa dikeluarkan, dan kawasan di hilir iaitu Bota Kanan dan Kampung Gajah akan banjir, sekaligus menjejaskan lebih 500 keluarga. Jadi langkah waspada perlu dilakukan sebelum kejadian itu berlaku," katanya.

Mohammad Nizar berkata bagi jangka masa panjang, kerajaan negeri hanya mampu menjalankan kerja-kerja pendalaman sungai dengan mengeluarkan mendapan dari sungai terbabit.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini