Pages

Monday, October 6, 2008

'MU bakal mengganas kembali'

BLACKBURN - Sir Alex Ferguson percaya Wayne Rooney dan Manchester United bersedia untuk kembali mengganas dalam Liga Perdana England selepas mencatatkan kemenangan 2-0 dalam perlawanan menentang Blackburn di tempat lawan semalam.

Wes Brown membuka jaringan menerusi tandukan kontroversi, selepas penjaga gol Rovers, Jason Brown mendakwa dikasari oleh Nemanja Vidic, sebelum Rooney mengesahkan kemenangan dengan gol ketiga musim ini pada separuh masa kedua.

Prestasi Rooney ketika ini memberikan khabar gembira buat England, yang akan menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kazakhstan dan Belarus selepas ini dan jurulatih kelab itu percaya Rooney berada di prestasi terbaik.

''Dia seorang pemain yang sentiasa bergerak untuk mencari ruang terbaik. Dia begitu aktif dan mempunyai banyak tenaga. Dia menggunakan tenaganya pada masa yang betul dan ia merupakan prestasi terbaiknya musim ini.

''Dia sentiasa berlari dan cuba untuk melepasi pertahanan lawan. Dia mendapat ganjaran di atas semangatnya,'' kata Ferguson.

Selepas sembuh dari kecederaan buka lali yang menimpanya pada awal musim dan menamatkan lapan perlawanan tanpa sebarang gol untuk United, Rooney kembali mendapat sentuhannya bagi kelab dan negara.

''Jika anda mula menjaringkan gol pertama musim ini, perasaan yakin anda akan semakin menebal.

''Akhirnya saya berjaya melakukannya dan mengambil peluang ini.

''Sudah tentu saya bersedia untuk beraksi bersama England, terutama sekali selepas kami beraksi baik dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Saya sudah bersedia untuk beraksi dan berharap dapat mengutip enam mata,'' kata Rooney.

Kemenangan United dibayangi dengan keputusan kontroversi pengadil Steve Bennett yang membenarkan gol pembukaan, pengadil itu sudah terbabit dalam dua keputusan kontroversi dalam masa dua minggu berturut-turut selepas memberi sepakan penalti kepada Wigan menentang Manchester City minggu lalu.

''Gol pertama sangat mengecewakan. Saya rasa pengadil atau penjaga garisan membuat keputusan yang salah. Mereka bercakap mengenai Keith Hackett (Pengurus Utama Pengadil) dan pengadil itu lebih cergas dan membuat keputusan yang betul dalam tugasnya.

''Tetapi jika dia berada di posisi itu melihat Vidic menyiku penjaga gol saya dan membiarkannya dia sepatutnya tidak boleh menjadi pengadil. Ia satu keputusan yang teruk,'' kata jurulatih Blackburn, Ince.

- AFP

Tetapi Ferguson melihat keputusan itu betul.

''Penjaga gol mempunyai peluang, bola berada di udara membolehkan penjaga gol menerpa dan menangkapnya, ia bukan masalah kami,'' kata Ferguson.

1 comment:

Fazrulls said...

Salam Tuan,

Tetiba ja terselit berita bola ni? heee.. minat kat MU ka?

Orait...

Posting Terkini