Pages

Thursday, October 23, 2008

Konsep Negeri Kebajikan Kelantan Menyebabkan Kerugian

KOTA BAHARU, 23 Okt -- Kerajaan negeri Kelantan mengalami kerugian disebabkan lebihan bayaran pampasan sebanyak RM8.495 juta menerusi Skim insuran Takaful Kifaalah bagi warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata kerugian itu berpunca apabila unjuran kematian bagi warga emas meningkat sebanyak dua peratus.

"Sebelum skim itu diperkenalkan kita telah membuat kajian pada 2007 dan 2008 bahawa unjuran kematian adalah dua peratus.

"Bagaimanapun ajal dan maut di tangan Tuhan, disebabkan itu unjuran kematian pada dua tahun itu meningkat kepada empat peratus, iaitu peningkatan sebanyak dua peratus," katanya ketika menjawab soalan Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Gaal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Takaful Kifaalah ialah skim takaful untuk warga emas di mana jika seseorang warga tua meninggal dunia, pewaris mereka akan mendapat RM2,500 iaitu RM500 pada hari kematian dan bakinya RM2,000 selepas itu.

Sejak dilancarkan 7 Feb tahun lepas, seramai 7,299 warga tua telah meninggal dunia dan sehingga kini 96,921 orang berdaftar di bawah skim itu dari seluruh negeri dan daripada jumlah itu 139,000 adalah warga emas.

Husam berkata sebanyak RM15.751 juta telah dibayar kepada pewaris melalui Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala RM2.496 juta belum dibayar kepada ADUN dan pewaris dan jumlah keseluruhan yang harus dibayar ialah RM18.247 juta.

Beliau berkata daripada RM18.247 juta itu, RM8.495 juta ditanggung oleh kerajaan negeri.

Oleh kerana tidak lagi mampu menampung jumlah kerugian pembayaran tuntutan itu, katanya kerajaan negeri bercadang mengkaji semula jumlah pampasan yang akan diberikan kepada golongan warga tua yang diberikan.

Bagaimanapun skim itu akan tetap diteruskan cuma bayaran pampasan akan dikaji semula mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri, tambah beliau.

Sementara itu, Danau Tok Uban di Pasir Mas akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan kerana namanya hampir sinonim dengan destinasi pelancongan di Medan, Indonesia, Danau Toba, yang boleh menarik pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri akan menarik mana-mana pihak yang berminat untuk membuat pelaburan di kawasan berkenaan.

Ketika menjawab soalan tambahan Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Chetok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sini hari ini, beliau juga mencadangkan Danau Tok Uban ditukarkan kepada Danau Tokban.

Menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak), katanya kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menarik pelabur dari luar dan pihak swasta untuk membuat pelaburan di Kelantan dalam industri pelancongan, dengan menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan yang dikenalpasti sebagai destinasi pelancongan.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini